The Voice of Hind Rajab diangkat menerusi kisah sebenar yang Israel cuba diamkan

THE Voice of Hind Rajab hadir bukan sebagai tontonan yang mudah dicerna emosi. Ia dibina dengan pendekatan seolah-olah peristiwa itu sedang berlaku di depan mata, menjadikan penonton saksi kepada satu tragedi kemanusiaan yang meruntun jiwa.
Nadi sebenar filem ini terletak pada penggunaan rakaman suara sebenar Hind Rajab, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta di utara Gaza pada 29 Januari 2024.
Melalui suara kecil itu, penonton dibawa menyelami detik-detik paling getir selepas pakcik, makcik serta sepupunya ditembak, sementara Hind sendiri terus merayu agar diselamatkan.
Tangisan, ketakutan dan keletihan yang kedengaran bukan hasil lakonan, sebaliknya rakaman sebenar yang dikekalkan tanpa suntingan.
Saat Hind membaca Al-Fatihah menjadi antara detik paling meruntun, bukan sekadar doa, tetapi jeritan terakhir seorang kanak-kanak yang masih berharap dunia akan datang menyelamatkannya.
Setiap hela nafas yang didengar terasa berat, dan setiap senyap meninggalkan kesan yang mendalam.
Walaupun keseluruhan naratif filem ini hanya berlegar dalam satu lokasi iaitu bilik operasi Bulan Sabit Merah Palestin selama kira-kira satu jam 25 minit, ketegangan yang dibina tidak pernah kendur.
Penonton seolah-olah terperangkap bersama para petugas kecemasan yang berdepan kekangan masa, jarak dan situasi medan perang, sambil menyedari hakikat pahit bahawa tidak semua panggilan mampu diselamatkan.

Filem ini diarahkan oleh Kaouther Ben Hania dan diterbitkan oleh Mime Films serta Tanit Films, dengan Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi di Malaysia.
Barisan pelakon antarabangsa yang dipilih pula hampir menyerupai individu sebenar yang terlibat dalam komunikasi dengan Hind, menambah lapisan keaslian tanpa menenggelamkan fokus utama iaitu suara dan kisah Hind sendiri.
Dari sudut teknikal, pergerakan kamera yang tidak statik memberi ilusi rakaman langsung. Pendekatan ini mungkin mengundang ketidakselesaan kepada sesetengah penonton, namun ia selari dengan pendekatan psikologi dan kemanusiaan yang dipilih tanpa memaparkan keganasan secara visual.
Ironinya, filem ini yang jelas membuka mata tentang kekejaman terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak, setakat ini hanya ditayangkan di sekitar 20 negara.
Namun di peringkat antarabangsa, The Voice of Hind Rajab menerima pengiktirafan apabila memenangi Silver Lion Grand Jury Prize di Venice International Film Festival 2025 dan tersenarai dalam Top 15 kategori Best International Feature Film bagi Academy Awards ke-98 (2026).
The Voice of Hind Rajab bukan filem untuk hiburan. Ia adalah peringatan, rakaman sejarah dan suara kecil yang menuntut dunia untuk tidak lagi berpaling.
Ringkasan AI
- THE Voice of Hind Rajab mengisahkan tragedi kemanusiaan melalui perspektif Hind Rajab, seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang terperangkap dalam sebuah kereta di Gaza
- Penggunaan rakaman suara sebenar Hind Rajab menambah keautentikan dan kesan emosional kepada penonton
- Filem ini menceritakan detik-detik menyayat hati Hind dan keluarganya yang menjadi mangsa kekejaman
- Saat Hind membaca Al-Fatihah merupakan salah satu detik paling meruntun dalam filem, menyimbolkan harapan dan jeritan hati
- The Voice of Hind Rajab meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk memenangi Silver Lion Grand Jury Prize di Venice International Film Festival 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


