Suami Intan Najuwa menang saman terhadap Rizman Ruzaini, tuntut RM1.3 juta

Intan Najuwa bersama Ahmad Azraf. FOTO: Instagram Intan Najuwa
Intan Najuwa bersama Ahmad Azraf. FOTO: Instagram Intan Najuwa
A
A
A

AKTRES Datin Intan Najuwa berkongsi berita bahawa suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman berjaya memenangi kes saman terhadap jenama fesyen tersohor, Rizman Ruzaini berkaitan tuntutan bayaran semula.

Mendedahkan tiga tahun berdiam diri bagi menghormati proses undang-undang, Intan memuat naik berita itu menerusi laman sosial Instagram yang turut berkongsi dokumen penghakiman daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan.

"Tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain, kenyataan ini dibuat khusus bagi menyeru Pereka Fesyen Rizman Ruzaini untuk melaksanakan pembayaran semula pinjaman seperti yang telah diarahkan oleh Mahkamah melalui penghakiman yang telah memihak kepada kami," katanya.

Intan turut menegaskan kenyataan tersebut dibuat berlandaskan fakta dan secara berhemah, selari dengan keputusan undang-undang yang sah.

Merujuk dokumen yang dimuat naik, mahkamah telah merekodkan Penghakiman Terus yang menyebelahi Ahmad Azraf sebagai plaintif terhadap tiga defendan iaitu Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd, Rizman Nordin dan Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil.

Berdasarkan perintah mahkamah bertarikh 16 Disember 2025, pihak defendan diarahkan untuk memenuhi tiga ketetapan.

Pertama, menjelaskan bayaran sebanyak RM1.3 juta kepada plaintif selewat-lewatnya pada 15 Januari 2026.

Kedua, membayar faedah pada kadar lima peratus ke atas baki jumlah bermula 16 Januari 2026 sehingga penyelesaian sepenuhnya dibuat.

Artikel Berkaitan:

Ketiga, menjelaskan kos mahkamah berjumlah RM15,000 kepada plaintif dengan segera.

Sehingga kini, pihak Rizman Ruzaini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau maklum balas rasmi berhubung perkara tersebut.

 

 

Ringkasan AI

  • Aktres Datin Intan Najuwa berkongsi kemenangan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman dalam kes saman terhadap Rizman Ruzaini
  • Diam selama tiga tahun menghormati proses undang-undang sebelum berkongsi keputusan mahkamah
  • Keputusan mahkamah memihak kepada Ahmad Azraf menyebabkan Rizman Ruzaini perlu membayar semula pinjaman
  • Mahkamah arahkan pihak Rizman Ruzaini membayar RM1.3 juta, faedah lima peratus, dan kos mahkamah RM15,000
  • Pihak Rizman Ruzaini belum memberi sebarang kenyataan atau respons terhadap keputusan mahkamah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!