MENGAKUI popularitinya meningkat kerana watak sebagai Iman Firdaus menerusi drama bersiri Kau, Aku, Kita, Janna Nick berkata, dia bersyukur kerana lakonannya kini mula mendapat tempat di hati peminat seni tempatan.

Akui pelakon berusia 21 tahun itu, dia bertuah kerana peranan tersebut telah mengangkatnya dalam bidang ini.

“Watak gadis tomboy dan kasar berjaya membuka mata segelintir pihak akan kehadiran saya dalam bidang ini.

“Walaupun banyak pengorbanan saya lakukan demi merealisasikan watak tersebut, namun ia berbaloi,” katanya.

Berkongsi mengenai pengorbanan yang dilakukan, akui gadis kelahiran Kedah ini, dia terpaksa memotong rambutnya menjadi pendek demi menjadi Iman Firdaus.

“Ini percubaan yang sangat mencabar bagi saya, bagaimanapun, ia tidak sia-sia,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Syurga Nur ini percaya, kelainan watak tersebut menjadi kayu pengukur kepada sebagai pelakon baharu.

“Lain itu daripada aspek watak dan lakonan sahaja, kalau terlalu lain pula, bimbang ada yang terasa pelik.

“Apa pun, saya mahu pastikan setiap karakter atau peranan yang diberikan kepada saya punya perbezaannya.

“Saya tidak mahu, penampilan saya dalam drama-drama terdahulu membayangi watak yang baharu,” katanya lagi.

Selain Kau, Aku, Kita dan Syurga Nur, Janna Nick juga popular menerusi drama bersiri Abang Sado Jemur Kain.