• Tiga band di KL Live 30 Jun! Tiga band di KL Live 30 Jun!
1 /

Bahang kehangatan konsert Versus masih lagi terasa biarpun nama pemenang telah diumumkan. Rata-rata masih memperkatakan mengenai kehebatan program realiti yang mengumpulkan lima band terkenal tanah air itu.

Melihat kejayaan program tersebut, TV9 sekali lagi bakal menayangkan satu lagi konsert muzik menampilkan tiga band daripada dua negara berjudul Gig Triple Play.

Suntikan muzik daripada tiga kumpulan yang menjadi kegilaan anak muda masa kini; Bunkface, Hujan dan Nidji bakal menggegarkan pentas KL Live yang disiarkan secara langsung pada 30 Jun ini, jam 8.30 malam menerusi stesen TV9.

Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin berkata, konsert muzik tersebut adalah platform yang menyatukan tiga kumpulan besar daripada dua negara yang mempertaruhkan genre muzik berbeza.

“Justeru itu, kami di TV9 menyediakan sebuah konsert muzik rock yang menyatukan tiga buah kumpulan berbeza genre dari dua negara (Malaysia dan Indonesia) akan menonjolkan kreativiti masingmasing di atas satu pentas,” katanya yang menjanjikan kelainan dalam pengisian konsert itu nanti.

Bunkface seperti yang diketahui umum cenderung dengan muzik Pop Punk dan Punk Rock, sementara Hujan dengan muzik rock alternatif dan Nidji pula cenderung pada pop alternatif.

“Selain itu, buat pertama kalinya, kami memberi peluang kepada penonton setia TV9 yang juga merupakan peminat tegar Bunkface, Hujan dan Nidji untuk menentukan senarai lagu yang akan dimainkan oleh band tersebut dalam konsert ini.

“Lebih menarik lagi, setiap band juga bakal ‘shuffle’ atau mempersembahkan lagu daripada dua kumpulan lain, contohnya, Hujan akan mempersembahkan lagu daripada kumpulan Nidji dan Bunkface,” katanya.

Peminat yang ingin menyaksikan secara langsung persembahan tiga kumpulan ini boleh mendapatkan tiket eksklusif melalui peraduan yang dianjurkan di laman web rasmi TV9, Twitter ataupun Facebook stesen televisyen tersebut.


Hujan, Bunkface teruja!

Ditemui semasa majlis pelancaran Gig Triple Play yang berlangsung di The Curve, baru-baru ini, kedua-dua kumpulan, Bunkface dan Hujan mengakui rasa teruja untuk muncul dalam konsert
tersebut.

Menyifatkan konsert seperti itu dapat merancakkan lagi evolusi muzik di negara ini, baik Hujan mahupun Bunkface tidak sabar untuk berkongsi pentas di konsert itu.

"Menerusi konsert Gig Triple Play ini kami akan tonjolkan persembahan yang pastinya tidak dilupakan oleh peminat kami mahupun peminat Bunkface dan Nidji," kata anggota kumpulan Hujan, Noh.