PERSELISIHAN faham di antara dua anggota UNIC, Wan Najdi Wan Mohd Noh dan Bazli Hazwan Che Osman bukan satu gimik untuk pentas akhir Anugerah Nasyid 2017 (AN17).

Menurut Fakhrul Radhi Khamarudin, UNIC tidak memerlukan gimik sebegitu kerana yakin dengan kemampuan dan bakat untuk berdiri sendiri.

"Ia bukanlah gimik. Tapi, memang benar ada berlaku sikit salah faham.

"Alhamdulillah, kita berjaya selesaikan salah faham itu, dua hari sebelum berlangsungnya AN17," katanya pada Sinar Harian ketika ditemui di pentas akhir AN17, semalam.

Menerusi AN17, UNIC berjaya menggondol Anugerah Artis Duo/ Berkumpulan Pilihan manakala lagunya, Syamail Muhammadiah mendapat Anugerah Lagu Pilihan bagi kategori pilihan pendengar/ penonton.

Mengulas mengenai perbalahan yang terjadi, Fakhrul Radhi menyifatkannya sebagai masalah adik-beradik.

"Saya ada jumpa kedua-duanya. Biasalah, Bazli ini tegas orangnya. Dia pula dah 15 tahun jadi ketua UNIC, jadi wajar untuk dia menegur terutama apabila berkaitan kerja. Lagipun, bukan senang nak built nama UNIC itu sendiri.

"Najdi pula masih baru dan bila ada yang menegur, mungkin ada rasa sikit perasaan terkilan. Tapi, saya memintanya untuk berfikir jauh lebih-lebih apabila kita dah pergi sejauh ini.

"Biasalah, kita pun mungkin stress dengan kerja, dengan hal keluarga masing-masing lagi. Jadi, itupun menjadi penyebab juga," katanya.

Bagaimanapun, Fakhrul Radhi bersyukur apabila semua perbalahan berjaya diselesaikan dengan baik.

"Alhamdulillah, kita terus kekal bersama dan setiap yang berlaku merupakan satu proses pembelajaran untuk UNIC.

"Lagipun, perjalanan kita juga masih jauh selain jangan cepat melatah apatah lagi ada ujian yang lebih besar menanti, selepas ini.

"Doa-doakanlah, UNIC akan terus kekal dalam tempoh 20 ke 30 tahun akan datang," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :