Pelakon era P Ramlee, Pokdir terima bantuan YKAT

DJ Dave sempat membuat panggilan video bersama Pok Dir.
DJ Dave sempat membuat panggilan video bersama Pok Dir.
A
A
A

PELAKON veteran, Abdul Kadir Ismail, 91, atau lebih dikenali Pok Dir sekali lagi menerima sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave berkata, pihaknya dihubungi FMT Media pada Februari lalu bagi mengutip sumbangan buat Pok Dir melalui akaun yayasan itu.

Ujarnya, kutipan yang dibuat bertujuan membantu kos perubatan Pok Dir.

"Dalam keadaan kesihatan Pok Dir kini, beliau memerlukan banyak perbelanjaan untuk menampung kos perubatan.

"Jadi, sepanjang bulan Februari 2024, jumlah yang dikutip adalah sebanyak RM12,259.55. Bila pihak YKAT menerima laporan kewangan dari pihak bank, kami lihat penderma-penderma ini terdiri daripada semua kaum baik di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak," katanya.

Tambah DJ Dave, sumbangan diserahkan kepada Pok Dir melalui cek pada Selasa lalu.

Malah bintang era 1980-an itu turut mengambil kesempatan membuat panggilan video bersama Pok Dir yang menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan daripada rakyat Malaysia.

"Melalui rakaman perbualan itu juga, Pok Dir turut menyampaikan salam buat semua," ujar DJ Dave.

Artikel Berkaitan:

Pok Dir sebelum ini pernah membintangi empat filem seniman agung, Tan Sri P. Ramlee seperti Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, 6 Jahanam dan Kanchan Tirana.

Bagaimanapun menerusi laporan media sebelum ini, Pok Dir melalui kehidupan sukar, perlu mendapatkan rawatan susulan setiap minggu di klinik dan ditolak isteri tercinta, Hasmah Yusoff, 59, menggunakan kerusi roda sejauh 1 kilometer.

Pok Dir yang kini menetap di Kampung Kota Jembal, Kelantan, menghidap penyakit kanser prostat, angin ahmar dan asma.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!