SAMBUTAN luar biasa diterima menerusi lagu Tak Pernah Hilang yang juga merupakan lagu tema drama popular  Nur ini ternyata telah memberi semangat baharu kepada penyanyi Kaer Azami untuk kembali memeriahkan industri muzik tanah air.

Mengakui sedikit kekok selepas lebih 11 tahun berehat dari bidang seni, Kaer bagaimanapun cuba dengan sebaiknya untuk menyesuaikan diri.

“Memang saya akui suasananya agak berbeza sedikitlah daripada dulu. Sekarang macam-macam benda yang orang kena buat untuk promo diri sendiri.

“Dulu apa yang kita pentingkan adalah kualiti produk kita, tak kisahlah muzik atau nyanyian. Kalau apa yang dihasilkan itu bagus, orang akan cari kita dan hargai apa yang kita buat itu.

“Namun keadaan sekarang sedikit berbeza di mana bila tumpuan terbagi kepada perkara-perkara lain, terutamanya apabila media sosial menjadi kuasa utama,” luahnya.

Kaer Azami. Foto: Era FM

 

Ditanya adakah dia turut mengikuti trend semasa yang memerlukan seseorang artis itu mengumpul pengikut yang ramai di media sosial, Kaer pantas menafikan.

“Secara jujurnya saya bukanlah seorang yang terbuka untuk berkongsi pelbagai perkara di media sosial. Rasa macam malu nak letak semua benda kat situ semata-mata nak naikkan jumlah pengikut.

“Lagipun tak perlu kot. Ini kerana saya masih tetap merasakan kualiti sesuatu produk tetap menjadi benda yang lebih penting berbanding pendekatan sebegitu.

“Kalau tengok Instagram saya memang tak ada apa yang menarik pun. Itulah diri saya yang sebenarnya. Tak naklah stres semata-mata sebab nak naikkan pengikut IG. Biarlah saya jadi diri sendiri dan terimalah saya seadanya,” ujar Kaer yang bakal tampil dengan persembahan istimewa bersama Amyela di Hard Rock Cafe 26 Ogos depan.