SITUASI berlakon di bawah arahan adik sendiri kadangkala boleh menimbulkan perasaan kekok bagi seseorang pelakon, tapi perkara itu tidak terjadi kepada pelakon dan pengarah hebat, Syamsul Yusof.

Dia terlibat memegang watak utama sebagai Zek dalam drama bersiri terbaru terbitan Skop Productions, Evolusi KL Drift: The Series, arahan adiknya, Syafiq serta seorang lagi pengarah muda berbakat, Rizal Ashreff.

“Saya tiada sebarang masalah untuk berlakon di bawah arahan adik sendiri, malah saya sebagai abangnya berasa yakin akan kebolehannya untuk mengarahkan drama bersiri walaupun Syafiq tiada pengalaman mengarahkan drama bersiri sebelum ini.

“Selain itu, Syafiq juga merupakan seorang pengarah yang teliti dan rajin dengan kerja yang dihasilkan sementara Rizal juga mempunyai pengalaman serta tahu konsep serta tempo untuk pengarahan drama Evolusi KL Drift ini,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama bersiri itu di Perbadanan Filem Malaysia (Finas), semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penerbit, Datuk Yusof Haslam, Pengarah Program RTM, Suhaimi Jamelin dan barisan pelakon drama itu seperti Puteri Sarah Liyana, Norman Hakim, Zain Saidin, Ammar Alfian, Zach (X-Factor) dan Ridzuan Hashim.

Drama terbabit merupakan adaptasi daripada filem Evolusi KL Drift 1 dan 2 yang pernah diarahkan Syamsul sebelum ini bakal menemui penonton pada setiap hari Khamis bermula 4 Oktober ini di TV2.

Drama 26 episod ini turut diserikan dengan penampilan khas pelakon Aaron Aziz yang membawakan watak antagonis bersama Norman Hakim.

Ia berkisarkan perjalanan hidup Zek yang lahir dalam sebuah keluarga berada dan jiwanya memberontak apabila disuruhnya ayahnya untuk menyambung perniagaan keluarganya kerana minatnya lebih terarah kepada untuk membuka bengkel sendiri dan menjadi seorang mekanik walaupun dia mempunyai kelulusan yang tinggi.

Pelbagai konflik muncul apabila Zek bertemu dengan seorang gadis bernama Tasha (Puteri Sarah Liyana) yang turut berminat dengan sukan permotoran 'drift' selain kemunculan satu kumpulan haram yang diketuai Dino yang sering membuat kacau dalam hidup Zek dan rakan-rakannya.