SEPERTI yang dijangka, anak jati Singapura, Sufi telah diumumkan sebagai juara pentas Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) yang berlangsung di Auditorium MBSA,  tadi.
 
Kemenangan itu membolehkan Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid, 24, membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000, pakej percutian ke Dubai beserta trofi sumbangan Astro yang disampaikan pengetua, Edry Abdul Halim.
 
Pada pentas akhir itu, Sufi telah menyampaikan sebuah lagu baharu, Kisah Dua Muka hasil ciptaannya sendiri dan lagu Andaiku Bercinta Lagi nyanyian kumpulan Mojo.
 
Naib juara diungguli pelajar berasal dari Kuala Lumpur iaitu Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 22, dengan membawa pulang wang tunai RM30,000, pakej percutian ke Dubai dan sebuah trofi AF2015.
 
Manakala tempat ke tiga disandang oleh Nurnajmi Nabila Samsaidi atau lebih dikenali sebagai Bila membawa pulang wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Dubai serta trofi AF2015.
 
Sementara tempat ke empat yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, pakej percutian yang sama dan trofi dimiliki oleh Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 19.