MENYINGKAP semula perjalanan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini bukanlah calang-calang malah, kejayaan yang dicapai dalam industri hiburan tanah air telah melayakkan dirinya layak digelar sebagai penyanyi nombor satu negara.

Lebih membanggakan, penyanyi bersuara lunak ini telah memiliki kelasnya yang tersendiri menjadikan dia antara anak seni yang turut tergolong dalam artis eksklusif.

Tidak ada apa lagi yang diharapkan oleh seorang anak seni selain melihat titik peluh yang diusahakan selama ini terus relevan dan dihargai biarpun peredaran zaman tidak pernah berhenti.

Genap dua dekad berjuang sebagai anak seni tidak menjadi kayu pengukur buat Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berhenti mengejar impian dan kejayaan lain.

Malah, kejayaan demi kejayaan yang diraih sejak dari awal kemunculan sehingga hari ini melengkapkan lagi portfolio karier seninya.

Namun, tanpa sokongan pihak yang berada di sekelilingnya,  Siti  akui tidak mampu berdiri teguh pada tahap kehidupannya kini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sepanjang penglibatan awal saya dalam bidang nyanyian dan sehinggalah memiliki perniagaan sendiri saya sering dibantu dan disokong oleh pihak yang berada di sekeliling saya.

“Saya tidak rasa akan berada di tahap ini sekiranya saya lakukannya berseorangan.

“Semua yang berada di sekeliling saya termasuk keluarga, teman dan juga media banyak sokong saya daripada bawah menjadikan mereka begitu berharga buat saya,” luahnya.

Baginya, peluang dan ruang yang sama seharusnya diberikan kepada teman seperjuangan yang lain sebagai usaha memartabatkan industri hiburan tanah air.

“Saya akui keadaan industri kini tidak berada dalam keadaan yang baik, tapi sebenarnya masih ada ruang untuk memperbaiki segala-galanya.

“Namun, pada masa sama, semua bergantung kepada sokongan pihak terlibat seperti kerajaan, badan korporat dan syarikat rakaman kerana perjalanan seseorang artis itu lebih sukar tanpa sokongan mereka.

“Jika kita lihat sekarang ramai artis dari luar diberi ruang jadi kenapa ia tidak dilakukan perkara yang sama kepada artis tempatan,” soalnya yang turut pernah mengalami pengalaman tersebut.

Biarpun kejayaan demi kejayaan dimiliki, namun bagi Siti itu bukan alasan buat dirinya terlalu selesa dengan kedudukannya kini.

Sebagai seorang yang komited dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, penyanyi berusia 36 tahun ini terus bekerja keras mengejar hasrat yang belum tercapai.

“Kalau nak diikutkan, saya sendiri tidak tahu apa lagi yang mahu saya kejar atau impikan  memandangkan saya seorang yang gemar mengikut arus.

“Jika saya terus diberikan ruang dan peluang, sudah pasti saya akan lakukan yang terbaik demi kerjaya dan sokongan peminat,” jelasnya.

Lengkapi portfolio

April lalu, mempunyai signifikan yang tersendiri kepada Siti kerana setiap kali bulan ini menjelma, dia akan meraikan ulang tahun pembabitannya dalam bidang seni.

Ketika itu jugalah Siti tampil berbeza menggegarkan pentas Panggung Sari, Istana Budaya bagi menghiburkan peminat menerusi konsert akustik istimewa yang dinamakan Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015 pada 7 April lalu.

Menganggap persembahan itu sebagai momen berharga buat dirinya, Siti mengambil peluang merakamkan persembahan yang berlangsung itu untuk ditampilkan dalam bentuk album.

Sempena keberkatan Ramadan, Siti telah melancarkan album Unplugged baru-baru ini yang memuatkan 18 trek termasuk tiga lagu baharu iaitu Menatap Dalam Mimpi, Engkau dan Mikraj Cinta.

“Walaupun konsert ini dirancang dalam masa yang singkat, saya berpuas hati kerana ia berjalan dengan baik dan paling manis apabila mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat.

“Konsert ini memang istimewa buat saya di mana saya mendendangkan lagu-lagu terbaik sejak awal kemunculan dalam industri sehingga sekarang dan sebab itu saya membuat keputusan merakamkannya.

“Malah, penjualan album ini juga memberi peluang kepada peminat yang tidak berpeluang menyaksikan konsert saya tempoh hari kerana ia juga dirakamkan dalam bentuk DVD, VCD CD dan paling istimewa dalam bentuk piring hitam,” ujarnya.

Selain melancarkan Unplugged, Siti turut memperkenalkan muzik video lagu terbaharu Mikhraj Cinta ciptaan penyanyi nasyid dan komposer Hafiz Hamidun.

“Saya berterima kasih kepada pihak Universal Music kerana memberi peluang dan keistimewaan untuk merealisasikan idea saya menghasilkan muzik video ini.

“Penggambaran dijalankan di Menara Kuala Lumpur. Saya sukakan suasana tempat yang tinggi tambahan pula lagu ini menceritakan tentang peristiwa Israk Mikraj,” kongsinya.

Teater muzikal

Enggan berhenti dari melakar sejarah perjalanan kariernya, Siti memaklumkan dia sekali lagi bakal menggegarkan pentas Istana Budaya menerusi pementasan konsert Teater Muzikal Siti Nurhaliza pada November ini.

Menurutnya, pementasan itu secara keseluruhannya bakal mendedahkan mengenai perjalanan hidupnya sepanjang bergelar anak seni.

“Setakat ini semuanya dalam perbincangan, harap ia akan berjalan seperti yang dirancang. Apa yang boleh saya katakan, persembahan yang bakal berlangsung selama lapan hari ini akan membuatkan peminat lebih mengenali saya bukan sekadar sebagai seorang penyanyi semata-mata,” jelasnya.

Selain dirinya sendiri terlibat dalam persembahan tersebut, dia kini dalam pencarian pelakon bersesuaian untuk membawa watak Siti Nurhaliza ketika zaman kanak-kanak dan remajanya.

“Saya sedang mencari seorang pelakon yang boleh membawa watak saya dan pelakon itu haruslah pandai menari dan menjadi bonus buat saya kalau pelakon itu boleh menyanyi.

Saya sendiri hanya akan lakonkan watak selepas berhijab. Inilah persembahan pertama saya, jadi memang saya teruja,” katanya.

Raya lebih meriah

Mengambil keberkatan Ramadan yang mulia, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berniat mengerjakan umrah untuk ke sekian kalinya.

“Kali ini, saya hanya pergi berdua dengan suami dan kami akan berada di Tanah Suci dalam tempoh seminggu.

“Mulanya, saya tak bercadang nak memberitahu kepada sesiapa mengenai hal ini, tapi tak sangka pula perkara ini tersebar luas,” katanya.

Bercerita mengenai Lebaran, pelantun lagu Jaga Dia Untukku ini menyifatkan Syawal sebagai bulan kemenangan kepada semua umat Islam.

“Selama sebulan ‘berperang’ dengan diri sendiri, menguji tahap kesabaran sekali gus mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT, inilah masanya kita sambutnya sebagai satu kemenangan,” katanya.

Bakal beraya di Kuala Lumpur, sambutan Aidilfitri sangat bermakna lantaran keluarganya kini yang bertambah besar berikutan kehadiran cucu keduanya hasil perkongsian anak sulung Datuk K, Anas Zawawi bersama Nasha Alyssa.

“Raya tahun ini lebih bermakna buat kami sekeluarga tambahan pula dengan kehadiran orang baru dalam keluarga. Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih kepada hubungan kekeluargaan.

“Lihat saja sekarang pelbagai kejadian yang tak diingini berlaku menjadikan kami lebih menghargai orang di sekeliling kita,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.