• Mior, Silah, Idris, Alina sedia berentap. Mior, Silah, Idris, Alina sedia berentap.
1 /

SETELAH lima minggu berjuang di pentas Kilauan Emas 3 (KE3), akhirnya empat peserta dipilih untuk terus bersaing merebut gelaran juara
.
Empat peserta yang berjaya melayakkan diri, Mior, Silah, Idris dan Alina akan berentap di konsert akhir yang bakal berlangsung pada 29 Mei, Rabu ini di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), jam 9.30 malam.

Konsert akhir ini bakal menyaksikan setiap peserta akan berentap menerusi dua pusingan iaitu lagu pilihan dan lagu baru.

Setelah diumumkan sebagai peserta yang layak mara ke pusingan akhir, masing-masing bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk memberikan yang terbaik pada malam itu nanti.

Walaupun sibuk dengan sesi latihan, finalis ini tidak keberatan untuk menjayakan satu sesi fotografi bersama Zass, Jumaat lalu.

Jom kita ikuti kisah, harapan dan perancangan akan datang empat finalis KE3 ini...

Mior pilih Mus, Amy

Mengakui ketiga-tiga finalis merupakan pencabar terdekat, Mior atau nama sebenarnya, Mior Yazid Ahmad, 44, mengakui bukan mudah untuk melayakkan diri sebagai juara.

Menurut Mior, pun begitu, dia tidak merasakan  tiga peserta lain itu tidak hebat kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk terus berada di pentas akhir. Namun, ia bukanlah bermakna saya hanya perlu berpeluk tubuh.

“Malah, konsert final ini memberikan tekanan yang lebih hebat. Setakat ini, saya boleh sifatkan persediaan sudah berada di tahap 50 peratus dan berharap ianya akan berjalan seperti yang diharapkan.

“Setakat ini, saya masih belum fikir mengenai kemenangan. Tapi, saya mempunyai impian untuk berkongsi pentas bersama idola nyanyian saya, Mus May atau Amy Search, selepas ini,” katanya yang berjanji akan membuat persembahan terbaik pada konsert final itu.

Menerusi konsert akhir itu, Mior akan menyampaikan dua buah lagu, Purnama (Search) dan satu lagu baru, Sampai Di Sini.

Idris tutup kedai

Bagi penonton setia KE3, pastinya mengetahui pekerjaan Idris sebelum menyertai rancangan nyanyian khas untuk golongan 40 tahun ke atas ini.

Namun, akui Idris atau nama sebenarnya, Idris Mohd Shabidin, 51, perkhidmatan kedai mengecat kenderaan itu terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Katanya, kedainya akan kembali dibuka setelah berakhirnya konsert ini beberapa hari lagi.

“Tak kisahlah saya menang atau kalah, saya tetap akan menguruskan kedai ini. Namun, jika selepas ini ada undangan nyanyian atau aktiviti yang disusun Astro, saya akan cuba seimbangkan kerja saya.

“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki saya memenangi KE3, wang tunai itu mungkin akan saya gunakan untuk menaik taraf atau membesarkan kedai saya.

“Namun, saya akui, bukan mudah untuk mengalahkan tiga finalis lain kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Saya hanya mampu meningkatkan usaha untuk memenangi hati juri dan penonton.

“Saya berharap agar pada konsert akhir nanti, saya tidak lagi melakukan kesilapan yang sama seperti lupa lirik dan sebagainya,” katanya yang bakal membawakan lagu, Ghazal Asmara (Jamal Abdillah) dan lagu baru, Ku Kejar Bayang.


Silah: Harap kesihatan tak terjejas

Terkenal dengan kebolehan menyanyikan lagu irama Blues, pemilik restoran ikan bakar ini sentiasa memastikan tahap kesihatannya tidak terjejas untuk menghadapi saingan akhir KE3.

Silah atau nama sebenarnya, Silahuddin Ali, 52, mengakui saiz badan dan faktor usia mungkin mempengaruhi persembahannya jika dia mengabaikan kesihatan.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mempunyai sebarang penyakit yang boleh menjejaskan tumpuan saya. Namun, sejak menyertai KE3, berat badan saya semakin menurun.

“Saya amat mementingkan tahap kesihatan kerana ia adalah perkara paling penting agar ianya tidak mengganggu persembahan saya nanti.

“Jika ada masa terluang, saya akan joging untuk mengekalkan pernafasan. Saya percaya, disiplin adalah perkara asas yang perlu dipegang setiap peserta agar kita tidak terleka dan hilang tumpuan,” katanya yang menyerahkan tugas di restoran ke bahu isteri setelah menyertai pertandingan ini.

Konsert akhir ini menyaksikan Silah membawa lagu pilihan, Still Got The Blues (Garry Moore) dan lagu baru, Belenggu Alam.


Alina  tak ‘over confident’

Pernah muncul dalam industri hiburan menerusi rancangan realiti, Sinaran Pasport Kegemilangan sebagai juara pada 1996, namun bagi Alina, ia bukanlah kelebihan yang ada padanya berbanding peserta lain.

Malah menurut Alina atau nama sebenarnya, Alina Hassan, 45, dia tidak memandang kelebihan itu dapat menandingi peserta lain kerana masing-masing mempunyai pengalaman nyanyian yang tidak kurang hebatnya.

“Mungkin ramai yang tak tahu, bukan saya sahaja yang menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini. Cuma bezanya, saya bertanding di televisyen dan mereka di luar televisyen.

“Namun, pengalaman itu lebih kurang sama dan saya juga melalui sesi uji bakat. Mereka semuanya hebat-hebat belaka.

“Ya, memang saya mengamalkan sikap ‘confident’ ketika membuat persembahan namun ia bukanlah ‘over confident’. Sejak dulu lagi, inilah Alina.

“Pun begitu, tidak dinafikan, perasaan gementar itu tetap ada, apatah lagi saya perlu bersaing dengan mereka yang hebat di setiap genre masing-masing,” katanya yang pernah bekerja di sebuah bank sebelum ini.

Alina bakal mendendangkan dua buah lagu termasuk lagu baru berjudul Serambi Kasih Ku dan lagu pilihan, Vision Of Love (Mariah Carey).