SIAPA sangka di sebalik kegagalan Kaka Azraff dalam sesi uji bakat filem Gol & Gincu 2 sebagai salah seorang pelakon, memberi rezeki lain buatnya.

Penyanyi yang kini popular menerusi single terbaharunya, Sibuk, telah dipilih sebagai penyanyi lagu tema filem terbitan RedCom ini.

Menyifatkan ia sebagai rezeki tidak terjangka, Kaka mengakui begitu menyukai lagu Shout It Out yang baharu sahaja dilancarkan baru-baru ini.

“Saya memang peminat filem Gol & Gincu sebelum ini dan sangat gembira apabila dipilih untuk menjadi sebahagian daripada filem Gol & Gincu 2.

“Walaupun gagal melepasi uji bakat sebagai pelakon, namun saya bangga apabila diberikan peluang untuk menyanyikan lagu tema.

“Siapa sangka untuk filem pertama dulu, lagu temanya dinyanyikan oleh ibu saudara saya, Ella, manakala untuk sekuel ini, saya pula yang menggalas tanggungjawab yang sama,” ujar Kaka yang ditemui di majlis pelancaran OST Gol & Gincu 2.

Dalam pada itu, Kaka yang turut aktif dalam bidang lakonan juga mengakui tidak kisah untuk menghadiri sesi uji bakat sekiranya ia diperlukan meskipun namanya sudah dikenali ramai.

“Saya tidak ada masalah untuk menghadiri sesi uji bakat sekiranya ia diperlukan walaupun nama dah dikenali.

“Walaupun kita dah ada nama, tetapi  jika sesi ujibakat itu adalah prosedur yang telah ditetapkan oleh sesebuah produksi, kenalah ikut.

“Malah saya tak kecewa pun apabila gagal dalam uji bakat kerana ia bukan bermaksud kita tidak bagus, cuma mungkin tidak sesuai dengan watak tersebut,” tegas Kaka yang bakal muncul dengan filem terbaharunya, Zharfa The Movie tidak lama lagi.