DALAM masa tiga tahun, Mira Filzah membuktikan dia tidak melangkah ke dunia seni bersandarkan rupa sahaja. Tidak hanya dikenali sebagai pelakon, bintang berusia 24 tahun ini juga membuktikan kemampuannya sebagai pengacara dan pernah diberi kepercayaan mengendalikan program berskala besar.

Terbaru, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman ini dikhabarkan berduet bersama Aliff Aziz menerusi lagu tema drama lakonan mereka, Meh, Sandar Padaku!

Lagu berjudul Sandar Padaku ditulis oleh Marr Mohamad dan komposer oleh Panji.

Ditanya adakah itu percubaan pertamanya untuk bergelar penyanyi, Mira ternyata menolak kerana merasakan dia tidak punya bakat dalam nyanyian.

“Untuk lagu itu pun saya hanya banyak berdialog kerana nak sesuaikan dengan karakter sebagai Afnan Tasneem dalam drama berkenaan.

“Senang kata, saya hanya sumbangkan suara sahaja. Tapi tidaklah serius untuk bergelar penyanyi.

“Saya tak minat dan saya rasa, saya tak ada bakat. Jadi biarlah saya berlakon dan mengacara saja buat masa ni,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Mira berkata, dia akan muncul dengan drama digital pertama di Astro Gempak berjudul 3 Gadis Manis bersama Ayda Jebat, Cristina Suzanne, Dottie dan Alvin Chong.

Penggambaran drama yang hanya mengambil masa selama tiga hari itu ternyata satu pengalaman baru buatnya.

“Drama tersebut akan disiarkan sebanyak enam episod untuk tempoh lapan minit sahaja.

“Tapi disebabkan tempoh penggambarannya pendek, kami harus menjalani penggambaran dari pagi hingga ke malam.

“Mujurlah kami semua satu kepala jadi tidaklah terasa penat sangat,” katanya.

Sisi berbeza

Selain itu, Mira juga mengendalikan program Mahligai Cinta. Diusik adakah ia menjadi petanda awal untuknya mengutip pengalaman sebelum mendirikan rumah tangga, Mira sempat ketawa kecil.

“Tidaklah, saya memang suka dengan program seperti ini. Lagipun saya rasa program sebegini lebih sesuai dengan karakter saya.

“Sesekali saya mahu explore dan cuba sesuatu yang baru selain program hiburan,” katanya.

Mira berkata, tahun 2017 ini akan menyaksikan dia tampil dengan genre lakonan yang berbeza dan ia termasuklah dua buah naskhah yang menjadi idamannya.

“Saya akan keluar dengan telemovie thriller dengan watak antagonis yang agak berat dan perlu banyak bermain emosi," ujarnya yang berharap peminat dapat menyaksikan sisi berbezanya dalam lakonan.