PELAKON utama Bunohan berharap filem arahan Dain Said itu diberi pengiktirafan sewajarnya di dalam negara bagi membuka mata masyarakat Malaysia.

Meskipun hasil kutipan filem tersebut kurang memberangsangkan namun, garapan pengarah ini tidak dapat dinafikan apabila menerima pengiktirafan dalam festival filem peringkat antarabangsa.

Bunohan merangkul anugerah Golden Hanoman dalam Netpac Asian Film Festival (JAFF) ke-7 di Yogyakarta, Indonesia.

Bunohan juga telah tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Akademi bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik yang bakal membawa pulang trofi berprestij Oscar, Oktober lalu, namun gagal ke peringkat seterusnya.

Dalam pada itu, Festival Filem Malaysia ke-25 (FFMM25) dirujuk sebagai medan pengiktirafan paling hampir berikutan pengumuman tarikh majlis anugerah itu bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Pengumuman senarai lima terbaik bagi setiap kategori FFM25 itu juga dinanti-nantikan.

Pelakon utama, Zahiril Adzim yang memegang watak Adil atau Bunga Lalang ketika ditemui selepas tayangan filem Bunohan sempena program Merakyatkan Filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), semalam sempat melahirkan harapannya itu.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana (peluang Bunohan tersenarai dalam FFM25 sebagai lima terbaik) kerana kita juga memiliki filem lain yang bagus-bagus.

“Tetapi kita harap Bunohan mendapat tempat di FFM25. Jika bukan Filem Terbaik pun... apa-apa saja pengiktirafan supaya kita dapat membuka mata penonton Malaysia dan pembikin filem Malaysia yang negara kita ini ada produk yang sebegini,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Perkara sama dilahirkan pelakon filem itu, Pekin Ibrahim yang berharap kemenangan Bunohan pada masa akan datang membawa perubahan kepada pembikin filem.

“Insya-ALLAH ada peluang. Setakat ini saya lihat penjurian sudah lain sedikit. Juri juga sudah agak faham apa yang mereka mahu angkat dalam industri filem. Saya harap Bunohan, Songlap... filem yang saya rasa bagus, ada peluang untuk skor paling tidak sedikit.

“Jika menang, saya harap kemenangan itu sekurang-kurangnya membawa perubahan baru kepada pembikin-pembikin filem yang lain untuk membuat filem yang bagus.

Kita didik penonton supaya mereka faham tentang sebuah filem yang baik,” katanya yang memegang watak Ilham.

Faizal Hussien pula sudah menjangka pencapaian Bunohan yang ditayangkan Mac tahun lalu itu bakal sampai ke tahap Anugerah Akademi.

“Sebelum buat filem ini, saya dah tahu filem ini akan membawa nama negara kita ke persada dunia. Bunohan menang beberapa festival luar dan sasaran utama saya ketika itu saya dah jangka akan sampai ke peringkat Anugerah Akademi. Memang sampai sasaran itu apabila tersenarai dalam pencalonan awal 71 filem itu.

“Memang karya Dain Said bukan picisan. Dia bijak. Dia ambil masa empat tahun sebelum membuat filem Bunohan ini. Susah kita nak lihat cacat cela dalam filem Bunohan ini,” katanya yang sudah dua kali bekerja dengan Dain Said.

Berhubung peluang Bunohan dalam FFM25 pula, Faizal lebih memilih untuk berserah kepada pihak juri.

“Itu terserah pada pihak juri. Kita dah buat apa yang terbaik untuk diri sendiri termasuk mengharungi pelbagai cabaran untuk menyiapkan filem ini jadi, terpulang pada juri,” katanya yang akui perasaannya sayu selepas tamat penggambaran Bunohan.

Dalam pada itu, Zahiril turut memberitahu watak seorang peninju dalam filem Bunohan nyata memberinya ruang untuk menggali lebih dalam bakat lakonannya.

“Adil ini merupakan salah satu karakter yang betul-betul mencabar diri saya sebagai seorang pelakon bukannya sebagai artis atau selebriti. Bunohan memberi saya satu karakter yang bagi kerja pada saya.

“Sebelum mula penggambaran, saya dihantar latihan Muay Thai dan juga bahasa Kelantan selama dua bulan. Untuk dapatkan lenggok. Alhamdulillah saya dapat buat, cuma kalau nak dapat sama seperti orang Kelantan tak dapatlah kerana dua bulan itu tidak cukup,” jelasnya.