NAMA syarikat penerbitan 42nd Pictures Sdn Bhd, sememangnya agak asing bagi industri perfileman di Malaysia.

Apatah lagi, pemilik syarikat produksi ini merupakan warganegara Jepun, namun telah lama bertapak di Malaysia.

Biarpun mempunyai tapak yang kukuh di negara matahari terbit itu, tetapi penerbit dan pasangannya yang juga pengarah dari negara sama punyai hasrat untuk membaik pulih kualiti filem Malaysia.

Justeru buat pertama kalinya, penerbit syarikat berkenaan, Bea Tanaka dan suaminya Yasu Tanaka sebagai pengarah mempertaruhkan filem pertama mereka yang berjudul Nota untuk tontonan penonton negara ini.

Nota merupakan filem bergenre ‘phychological thriller’ yang merangkumi misteri dan jenayah berdurasi satu jam, 35 minit.

Biarpun genre begini kurang menjadi pilihan penonton, namun Bea bersama suaminya, yakin filem ini akan diterima penonton apabila menemui penonton pada 13 Ogos depan.

“Filem ini merupakan genre baru yang juga kurang diminati penonton negara ini. Ia hasil pemerhatian dan kajian yang kami lakukan selama ini.

“Tetapi saya rasa kita perlu mencabar diri kerana filem ini menjadikan penonton berfikir tentang penceritaan dalam filem ini nanti. Harap penonton Malaysia sudah bersedia,” katanya kepada Zass baru-baru ini.

Bea yang fasih berbahasa Melayu apabila 18 tahun belajar dan berkecimpung dalam industri seni memberitahu, yang dirinya tidak takut sekiranya sambutan tidak menggalakkan kerana genre yang tidak digemari.

“Sebagai pengarah saya perlu realistik. Apa yang kami boleh buat, buat terbaik dan terpulang penonton untuk menilainya,” katanya.

Filem ini adalah sebuah filem yang mempamerkan keindahan alam semula jadi negeri Sarawak. Di samping lokasi penggambaran yang menarik di Taman Negara Bako.

Tempoh penggambaran filem ini mengambil masa selama 26 hari dilakukan pada April sehingga Mei 2013. Di samping itu juga terdapat babak-babak menarik yang di rakam dengan menggunakan helikopter.

Filem Nota juga mengisahkan Kamal dan Erin adalah sepasang suami isteri yang telah lama menghadapi masalah rumah tangga kerana gagal untuk mendapatkan zuriat, akibatnya mereka jarang berkomunikasi.

Ketika ulang tahun perkahwinan yang ke-10, mereka memilih untuk bercuti ke Taman Negara Bako di mana Kamal telah melamar Erin, 10 tahun yang lalu.

Ketika perjalanan mereka ke Bako, Erin tak sengaja terjumpa nota yang ditulis Kamal yang membayangkan dia akan mengakhiri semuanya di puncak tebing.

Erin berasa sangat bersalah dengan situasi berkenaan. Selepas itu Erin mendapat tahu bahawa Kamal mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dan sekarang ini telah mengandung anak Kamal.

Dalam keadaan sedih dan tertekan, antara cinta dan benci, Erin merancang satu pembunuhan dengan menggunakan nota itu menjadi bukti yang kuat untuk dirinya.

Rancangannya tergendala dengan kehadiran Jemat, seorang pembawa bot yang membawa mereka ke kawasan Taman Negara Bako.

Taman Negara Bako menjadi pilihan

Berkongsi pula mengenai pemilihan lokasi penggambaran, Bea berkata, hanya ada tiga lokasi menjadi pilihan filem ini iaitu di sekitar Kuala Lumpur, Kucing dan Taman Negara Bako di Sarawak.

“Sebab kami pilih lokasi Taman Negara Bako pula apabila saya dan suami pernah ke taman itu untuk tujuan bercuti suatu masa dahulu.

“Suami yang ketika itu seorang pengarah dan penulis merasakan pemandangan lokasi itu amat cantik dan sesuai untuk menjalankan pengarahan filem di situ,” katanya.

Selain itu, pengalaman ketika menaiki  bot untuk ke Taman Negara Bako juga salah satu perkara menarik yang membuatkan pasangan ini mahu menjadikan lokasi tersebut sebagai latar filem Nota.

“Untuk ke Bako, hanya satu sahaja cara nak ke sana iaitu dengan menaiki bot. Oleh itu ketika kami sedang melalui sungai untuk ke taman itu, ada ketikanya air surut dan kami terdampar di tengah sungai dan daripada situ, kami jadikan salah satu babak dalam filem ini.

“Itu yang buatkan filem ini menarik kerana kebanyakan babak yang kami lakukan, adalah kejadian sebenar berlaku di taman Bako dan dengan adegan seperti itu ia memerlukan suasana sedemikian,” katanya yang juga mendedahkan filem itu memakan kos RM1.8 juta.

Selektif pemilihan pelakon

Filem Nota ini juga membariskan pelakon handalan tanah air seperti Maya Karin, Hans Issac, arwah Ramli Hassan dan Rin Izumi.

Menurut Bea, pihak produksi juga mendedikasikan filem ini khas buat arwah Ramli Hassan sebagai mengenang filem lakonan terakhir beliau.

“Kami juga memilih Maya Karin sebagai watak utama kerana, dia merupakan pelakon berpengalaman dan fasih berbahasa Inggeris yang dilihat berpotensi juga untuk ke luar negara.

“Hans pula dilihat sesuai dengan watak Kamal dalam filem ini sebagai doktor yang bekerja di Kuala Lumpur serta fasih berbahasa Inggeris,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan pelakon yang fasih berbahasa Inggeris, Bea berkata, ia kerana memudahkan komunikasi antara pengarah dan sasaran filem ini untuk mencuba di pasaran antarabangsa.

“Kita buat filem ini bukan sasarkan Malaysia sahaja, tetapi cuba pasaran antarabangsa. Justeru pemilihan pelakon itu penting.

“Skrip juga tidak banyak berubah dengan yang telah disediakan kepada pelakon dan sebelum penggambaran, saya, suami dan pelakon beberapa kali melakukan perbincangan mengenai watak dan adegan masing-masing untuk mencapai hasrat pengarah,” katanya.

Mengulas pula mengenai kerjasama diberikan pelakon tanah air dengan penerbit dan juga pengarah dari Jepun itu, Bea memberitahu, dia sangat berpuas hati dan gembira apabila komitmen dan segala yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Kelebihan pelakon Malaysia, kebanyakan fasih berbahasa Inggeris justeru memudahkan komunikasi dengan pihak luar negara terutama dengan suami saya yang hanya memahami bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.

"Selain itu, kami melihat Maya Karin sebenarnya boleh pergi lagi jauh sekiranya bakat dia terus digilap," katanya.

Penerbit ini juga sangat berharap agar filem ini mendapat sambutan dari penonton di Malaysia dan juga akan tayangkan di wayang luar negara.