JIKA ditanya apa karakter animasi yang popular kini, pasti kebanyakan jawapan menyebut Upin & Ipin dan BoBoiBoy.

Namun, di sebalik kejayaan dua animasi tersebut, ia sebenarnya pernah mendapat sentuhan individu yang sama.

Individu yang dimaksudkan itu adalah Mohd Nizam Abdul Razak atau lebih dikenali dengan nama Nizam Razak.

Bagi anda yang mungkin belum tahu, sebelum mewujudkan BoBoiBoy, Nizam bersama Mohd Safwan Ab. Karim (Safwan), Muhammad Anas Abdul Aziz (Anas) dan Kee Yong Pin terlebih dahulu mencipta fenomena menerusi siri animasi Upin & Ipin.

Seterusnya empat sahabat ini membuka Animonsta Studios dan mempertaruhkan produk animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy, kira-kira pada tahun 2011.

BoBoiBoy berkisarkan seorang adiwira kanak-kanak yang berkuasa super dan mampu berpecah menjadi tiga, bersama rakan-rakannya melindungi bumi daripada ancaman makhluk asing yang ingin menakluki bumi demi memburu koko.

Setelah tiga musim bersiaran, Nizam mengambil langkah berani untuk mengangkat karya siri itu ke layar perak.

Berkongsi mengenai pembikinan BoBoiBoy: The Movie, Nizam yang juga penulis skrip dan pengarah untuk siri TV dan filem BoBoiBoy berkata, sejak mula menghasilkan animasi itu, dia sememangnya sudah berhasrat untuk membawa BoBoiBoy tersebut ke layar perak.

"Ketika mula menghasilkan Boboiboy, kami memang sudah terfikir untuk membawanya ke layar perak.

"Tapi menyedari ia perlu diperkenalkan terlebih dahulu kepada umum dan dalam masa yang sama ingin mendapatkan golongan pengikut yang tersendiri, jadi kami hasilkan siri animasi BoBoiBoy terlebih dahulu.

"Melihat sambutan yang diterima, baharulah kami merangka BoBoiBoy: The Movie pada 2014. Alhamdulillah setelah dua tahun, filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 3 Mac ini," ujarnya kepada Zass.

Nizam berkata, BoBoiBoy: The Movie sepatutnya ditayangkan pada akhir tahun lalu. Namun kerana tayangan Star Wars, dia memilih untuk menunda tayangan ke Mac.

"Walaupun BoBoiBoy: The Movie akan bersaing dengan beberapa filem animasi luar, tapi sebagai penulis skrip dan pengarah, saya percaya kekuatan filem ini.

"Malah bagi mereka yang memang mengikuti BoBoiBoy: The Movie di TV, tidak mustahil mereka akan menonton filem ini di pawagam," katanya.

Justeru, demi memastikan filem pertamanya ini berbeza daripada karya siri, Nizam berkata, dia telah menyuntik pembaharuan termasuk mereka karakter baharu dan jalan cerita yang lebih segar.

"Untuk perubahan major (besar), olahan  cerita ini tiga kali. Dalam BoBoiBoy: The Movie kami selitkan lebih banyak aksi dan komedi.

"Pendek kata, ia berbeza daripada TV series dan bahagian aksi kita olah seperti naskhah anime," katanya.

BoBoiBoy: The Movie mengisahkan sekumpulan makhluk asing bernama The Tengkotak tiba di bumi dan menculik Ochobot untuk menggunakannya mencari sebuah Sfera Kuasa yang tersembunyi di bumi.

BoBoiBoy dan kawan-kawannya perlu menyelamatkan Ochobot dan membongkar rahsia di sebalik Sfera Kuasa tersebut.

Bajet besar

Bercerita lanjut mengenai pembikinan filem animasi ini, Nizam berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk filem ini.

"Walaupun industri kini sukar dijangka, ia bukan alasan untuk kami menghasilkan filem yang 'asal boleh' sahaja.

"Jadi demi memastikan hasilnya setara dengan filem antarabangsa, kami sanggup meletakkan pelaburan yang besar untuk filem ini.

"Malah jika dibandingkan dengan filem animasi antarabangsa yang biasanya memakan masa tiga hingga keempat tahun, BoBoiBoy: The Movie dihasilkan dalam masa dua tahun sahaja," katanya.

Tambah Nizam, proses memasukkan suara juga  mula dilakukan sejak awal pembikinan filem ini lagi sehingga ia selesai akhir tahun lalu.

Filem ini melibatkan watak dan suara seperti BoBoiBoy (Nur Fathiah Diaz), Yaya (Nur Sarah Alisya), Ying (Yap Ee Jean) Gopal (Dzubir Mohamed Zakaria), Fang (Wong Wai Kay), Ochobot (Mohd Fathi Diaz).

Bukan itu sahaja, Nizam juga turut menyumbang suara menerusi karakter Papa Zola. Ia juga turut menyaksikan kemunculan istimewa Fara Fauzana dan AG di dalam filem ini.

Tidak hanya tertumpu kepada pembikinan animasi semata-mata, Nizam turut mendapatkan kerjasama dari Bunkface untuk menyanyikan runut bunyi bagi filem ini berjudul Masih Di Sini.

Selain itu juga, ia turut menampilkan kumpulan dari Indonesia, D’Masiv yang akan menyanyikan lagu Di Bawah Langit Yang Sama.

Pasaran luar

Tidak hanya memasarkan BoBoiBoy: The Movie di pasaran tempatan, Nizam berkata, filem ini juga akan ditayangkan di Indonesia pada 13 April depan.

"Alhamdulillah setakat ini kita menerima respons yang baik daripada beberapa pengedar filem luar negara yang berminat untuk memasarkan BoBoiBoy: The Movie di luar.

"Untuk permulaan kita akan tayangkan filem ini di Indonesia dan Insya-ALLAH di beberapa negara lain yang kini masih lagi dalam perbincangan.

"Dengan penjualan hak tayangan, Insya-ALLAH kita akan mendapat pulangan kira-kira RM25 juta," katanya.

Respons positif

Dalam pada itu, tambah Nizam, biarpun belum ditayangkan lagi, filem ini sudah mendapat respons positif daripada peminat sejak trailer filem ini dimasukkan ke laman YouTube.

"Alhamdulillah setakat ini trailer BoBoiBoy: The Movie sudah ditonton lebih 2.8 juta.

"Respons yang diterima juga cukup positif dan mereka memang tak sabar menantikan tayangan filem ini," katanya.

Meskipun industri sukar dijangka, Nizam berkata, dia percaya dengan sokongan padu peminat siri BoBoiBoy dan peminat animasi untuk menyaksikan filem ini.

"Kalau kita lihat, penggiat filem jarang hasilkan karya animasi. Selain kos yang tinggi, jalan cerita juga memainkan peranan penting untuk penggiat filem menjual sesuatu karya itu.

"Jadi saya harap filem BoBoiBoy: The Movie akan mendapat sokongan padu daripada peminat dan masyarakat.

"Bahkan saya berharap filem ini bukan sahaja mendapat tempat di Malaysia, tetapi boleh pergi jauh ke pasaran antarabangsa," akhirinya.

BoBoiBoy: The Movie
PENGARAH
: Mohd Nizam Abdul Razak
PELAKON: Nur Fathiah Diaz, Anas Abdul Aziz & Dzubir Mohamed Zakaria.
GENRE: Animasi
TAYANGAN: 3 Mac