FILEM Munafik 2 akhirnya memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan iaitu sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.

Filem tersebut sekaligus mengenepikan filem arahan Mamat Khalid Hantu Kak Limah (HKL) yang mengutip RM35 juta bulan lalu.

Syamsul yang mengumumkan perkara itu melalui Instagramnya turut mengucapkan syukur dan terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan kepada filem berkenaan.

"Mencecah kutipan RM40 juta hanya dalam 17 hari tayangan. Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia.

"Alhamdulillah dan terima kasih. Majulah industri filem Malaysia," tulisnya.

Rata-rata peminat mengucapkan tahniah dengan kejayaan dan memuji filem itu yang menyelitkan pengajaran dan tauladan.       

Sebelum ini Munafik 2 mencipta rekod tersendiri apabila mencapai kutipan membanggakan untuk tayangan awal di pawagam pada 29 Ogos lalu.

Ia menjadikan filem tempatan yang menerima kutipan tertinggi untuk tayangan awal iaitu sebanyak RM2.05 juta.

Penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam berkata, kutipan tersebut merangkumi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions ini menelan belanja sebanyak RM2.9 juta.