LEBIH kurang sembilan tahun tidak bergerak aktif dalam karier nyanyian, kini pelakon dan pengacara jelita, Maya Karin kembali dengan buah tangan terbaru berjudul Bintang Syurga khas buat peminat setianya.

Sudah pasti kemunculan single terbaru ciptaan penuh oleh komposer Omar K dan Audi Mok ini mampu menghapuskan rasa rindu peminat setia yang sudah lama menantikan perkembangan karier nyanyian si cantik ini.

Sebelum tampil dengan single baru ini, Maya telah pun memiliki dua buah album Erti Cinta dan Bukan Qalamaya di mana dia juga telah dicalonkan sebagai Penyanyi Baru Terbaik dan Video Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik 2002 lalu.

"Bagi saya, kehadiran Bintang Syurga adalah hadiah istimewa buat peminat-peminat setia saya yang sehingga hari ini tidak pernah jemu menyokong saya.

"Lagu ini secara keseluruhannya berbeza dengan lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini. Jika sebelum ini saya banyak menyanyikan lagu-lagu berentak balada, kali ini saya tampil dengan lagu yang sedikit catchy iaitu pop dance," katanya teruja ketika ditemui pada majlis Maya Karin Bersama Media di Hotel Palace Golden Horses, Seri Kembangan, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai lirik lagu itu, Maya bagaimanapun menjelaskan ianya tidak ditujukan untuk seseorang cuma ia mengisahkan tentang pengalaman yang dilalui setiap insan yang hasrat untuk bercinta tidak kesampaian.

"Saya percaya setiap insan pernah lalui perkara seperti ini termasuklah saya sendiri. Situasi seperti ini mungkin biasa berlaku contohnya bila kita kenal dan baru nak suka pada seseorang, tentu kita pernah keluar dating dengannya.

"Tapi hubungan tu tak berpanjangan. Kemudian kita jumpa pula dengan orang lain dan kita juga keluar dating dengannya dan hubungan tu pun tak menjadi, lebih kurang macam tu lah,” jelasnya.

Sedang mengenali seseorang?

Setelah diasak dengan beberapa soalan mengenai kisah cintanya, Maya bagaimanapun mengesahkan dia masih lagi belum berpunya dan mengakui kini dia sedang mengenali seseorang.

"Saya mengaku sedang mengenali seseorang yang berasal dari luar negara dan saya sudah lama kenal dia tapi rasanya terlalu awal untuk bercerita lebih banyak mengenai perkara ini. Saya sendiri tidak pasti sama ada perkenalan ini akan lebih serius atau tidak.

“Sebelum ini saya sudah ada pengalaman berhubungan jarak jauh dan kali ini, saya akan lebih berhati-hati memandangkan dia juga duduk jauh. Jauh beribu-ribu batu," katanya.

Tambahnya buat masa ini, dia tidak mahu terlalu terburu-buru untuk mempunyai hubungan yang lebih serius kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Sudah mesti kali ini saya perlu lebih berhati-hati dan mungkin sebab itu saya perlukan masa untuk buat keputusan. Kalau ada jodoh, adalah dan kalau tak ada saya reda.

"Siapa dia, dari mana dia berasal bukanlah faktor utama. Bagi saya apa yang penting dia seorang yang cerdik, berdikari, 'adventures' seperti saya dan juga seorang yang menghormati," tambahnya.

Seperti yang diketahui sebelum ini, Maya pernah mendirikan rumah tangga bersama jejaka Inggeris iaitu Muhammad Ali atau nama sebenarnya, Steven David Shorthose pada 16 Ogos 2008, namun pasangan itu bercerai pada Julai 2010.

Pilih Warner Music Malaysia

Dalam pada itu, selain mengumumkan dirinya kini bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia, Maya turut memberitahu dia turut menyerahkan segala urusan kerjayanya pada label tersebut.

"Dalam masa terdekat ini saya akan sibuk dengan proses pembikinan album penuh yang mungkin akan mengandungi tujuh atau sepuluh lagu dengan sentuhan komposer Omar K. Dalam perancangan, album ini akan siap selepas bulan puasa tahun ini.

"Dari segi konsep pula, sudah pastinya berbeza daripada album yang terdahulu dengan berkonsepkan genre pop yang ceria dan matang, sesuai dengan usia dan penampilan saya sekarang," katanya.

Sementara itu, Maya turut memberitahu selain menguruskan karier nyanyiannya, pihak Warner Music turut menggalas tanggungjawab mengendalikan karier lakonan dan pengacaraannya.

"Saya akui bukan mudah menguruskan segala urusan karier seni secara sendirian dan sebab itu saya memerlukan satu team yang kuat bagi memastikan perjalanan karier saya dapat berjalan dengan baik.

"Warner Music bukan lagi label yang baru dalam industri tempatan dan saya percaya mereka mampu membantu saya," jelasnya.