JIKA sesetengah selebriti selesa berkongsi gambar cahaya mata mereka di laman sosial, berbeza pula pendapatnya dengan pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay.

Menurut Liyana, dia sengaja tidak mewujudkan laman Instagram khas untuk anaknya Sofia Arissa, 8 bulan kerana menyifatkan anaknya itu sebagai harta yang tidak ternilai.

“Anak dan suami adalah harta saya dan menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga privasi mereka. Jadi tidak perlulah saya tampilkan segalanya kepada umum.

"Cuma ada ketika, saya tetap berkongsi gambar bersama mereka tetapi bukannya setiap masa. Saya tak mahu orang bercakap mengenai mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Liyana, dia juga tidak beberapa suka dan jarang membawa anak atau suami ke mana-mana majlis atas faktor urusan kerja.

"Bagi saya dunia seni ini adalah kerja saya. Macam bila suami saya pergi kerja, dia tidak bawa anak atau saya bersama, begitu jugalah dengan saya.

"Saya sangat serius apabila waktu bekerja, jadi saya rasa tak perlu saya nak bawa sekali anak atau suami ke mana-mana kecuali jika ada masa tertentu atau keadaan sesuai untuk saya hadir bersama mereka di mana-mana majlis,” katanya yang tidak menghalang andai Sofia mahu melibatkan diri dalam industri seni suatu hari nanti.

Liyana mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan Fathudin Mazlan, 30, pada 2 Februari 2013.

Tambahnya, fokus utama dia dan suami kini adalah untuk memberikan yang terbaik Sofia.

"Saya percaya setiap ibu bapa akan berikan yang terbaik untuk anak mereka, sebab itulah saya dan suami bekerja keras untuk menjana hidup kami dengan lebih baik demi Sofia.

"Bagaimanapun itu tidak bermakna kami terlampau manjakan dia, kami hanya mahu dia mendapat keselesaan sepenuhnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Liyana yang akan muncul dalam filem Isyarat Cinta arahan, Bade Azmi, menyifatkan filem tersebut berbeza dengan filem-filem yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Ini adalah kali pertama saya memegang watak wanita buta. Sewaktu saya mendapat tawaran dari Bade, saya terus menerimanya kerana kelainan dalam watak,” katanya yang turut teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan Fizo Omar dan Adi Putra.