• Awie Awie
  • Erra Fazira Erra Fazira
  • Ziana Zain Ziana Zain
  • Konsert Teaterikal Suara Kita Konsert Teaterikal Suara Kita
1 /

BUAT pertama kalinya, tiga penyanyi dan pelakon hebat era 90-an iaitu Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira bakal berkongsi pentas beraksi dalam sebuah pementasan, Konsert Teaterikal Suara Kita pada 3 hingga 9 Mac ini.

Pastinya gandingan tiga bintang ini bakal menghangatkan pentas Panggung Sari, Istana Budaya dengan persembahan yang memukau dengan kemantapan vokal mereka yang tersendiri.

Pengarah segmen teaterikalnya, Azmi Zainal Abidin berkata, ketiga-tiga bintang ini memiliki keistimewaan yang tersendiri dan gandingan mereka bakal menghasilkan sesuatu yang menarik.

“Awie, antara penyanyi genre rock dan pop terbaik tanah air. Namanya sudah sinonim dengan pementasan teater dan populariti di layar perak.

“Ziana Zain pula, penyanyi genre balada yang sukar ditandingi dengan nada tingginya, begitu karismatik di layar perak dan bersilih ganti perwatakan antagonis dan protagonisnya.

“Manakala Erra Fazira, peminat amat merindui kemunculannya sebagai primadona filem Melayu. Jadi gandingan ini pastinya akan memberi kelainan kepada penonton yang hadir,” katanya.

Selain menampilkan tiga nama besar, Azmi berkata, konsep gabungan lakonan dan nyanyian yang mengimbau kegemilangan filem Melayu pecah panggung sekitar 90-an adalah merupakan keistimewaan yang akan diketengahkan pada malam konsert itu nanti.

“Filem-filem Melayu yang dimaksudkan pernah menggegarkan panggung di negara ini selama dua dekad yang lalu iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana 2 dan Merah.

“Pementasan lebih kurang dua jam setengah ini akan memanifestasikan semula sedutan babak-babak dari semua filem tersebut sebagai teras dan latar penceritaan. Ia juga akan diwarnai dengan persembahan nyanyian lagu-lagu malar segar daripada Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira.

“Kami percaya peminat ketiga-tiga artis ini pasti merindukan kemunculan mereka membawakan lagu-lagu popular era 90-an dahulu,” katanya.


Potongan harga tiket

Tiket Konsert Teaterikal Suara Kami berharga RM79, RM149, RM199, RM249, RM299, RM349, RM399 dan RM499 boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.biz atau di kaunter tiket Istana Budaya.

Pihak penganjur juga menawarkan promosi pra-jualan potongan sebanyak 10 peratus, hanya sah bermula dari 15 Januari sehingga 1 Februari 2014 sahaja.

Selain itu, bagi pembeli tiket-tiket bernilai RM399 dan RM499, anda layak untuk mendapatkan jemputan ke majlis jamuan dan beramah mesra bersama artis-artis yang terlibat pada 9 Mac 2014, jam 9 malam, dengan bayaran tambahan sebanyak RM150.

Peluang ini hanya terhad kepada 500 orang penonton sahaja.