TEPAT jam 9.05 malam, dewan Panggung Seri mulai riuh dengan sorakan penonton yang teruja menyaksikan kemunculan kumpulan Kembara yang menampilkan anggotanya Datuk Dr M Nasir, A Ali, S.Sahlan, Zoul, Cheman dan Md Shah.

Keriuhan dewan itu disambut dengan seleksi lagu Ekspres Rakyat, Impian Anak Jalanan dan Siapa Orang Kita sebagai pembuka tirai persembahan.

Selain terhibur dengan penyampaian lagu, keterujaan penonton turut diisi dengan kisah suka duka awal perjalanan Kembara yang dikongsi oleh M Nasir.

Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu yang suatu ketika dahulu pernah menjadi siulan seperti Sesat Di Kuala Lumpur, Perjuangan, Kolar Biru, Nusantara dan Sekuntum Bunga Plastik.

Seperti yang dijangkakan, kelincahan dan vokal mantap yang dipersembahkan oleh M Nasir nyata tidak pernah berubah.

Nyanyian A Ali, S Sahlan dan Zoul yang turut menyampaikan beberapa lagu secara solo menerusi Ada Sepasang Mata, Senandung Buruh Kasar, Impian Seorang Nelayan, Bunga Bakawali, Di Hentian Puduraya  serta Ayahku Dan Angkasawan juga tidak kurang hebatnya.

Perasaan penonton terus dibuai dengan persembahan beberapa lagu wajib seperti Malam, Oh Bulan, Kiambang, Keroncong Untuk Ana dan Kepadamu Kekasih.

Suasana dewan menjadi lebih menarik apabila penonton bukan sahaja menghayati lagu-lagu tersebut, malah turut menyanyikannya bersama.

Tidak terus membiarkan penonton di hanyut perasaan, Kembara kembali mendendangkan lagu-lagu yang lebih bertenaga seperti Empat Penjuru, Ayahku dan Angkasawan, Kupu-Kupu, Kutu  serta Duit sebelum menyampaikan Hati Emas dan Gerhana sebagai persembahan penutup.

Konsert pada malam itu turut diiringi oleh 12 pemuzik dan empat penyanyi latar dan secara keseluruhannya Kembara menyampaikan 27 buah lagu pada malam itu.

Persembahan konsert ini masih lagi diteruskan sehingga 23 November ini dan buat peminat yang teringin menyaksikan sendiri kehebatan Kembara beraksi, jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Konsert Hati Emas Kembara diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad.

Terus mengembara

Kemunculan semula Kembara kali ini bukan hanya tertumpu pada persembahan konsert tetapi mereka juga bakal menampilkan buah tangan terbaharu buat peminat.

Kata M Nasir, pelbagai perancangan telah diatur untuk meneruskan perjalanan Kembara selepas ini.

“Untuk album kali ini, terdapat beberapa lagu baharu yang kami rekodkan di mana ia masih mengekalkan identiti Kembara.

“Pada masa yang sama, ada juga lagu-lagu lama yang kami rakamkan semula tapi dengan susunan muzik yang sedikit berbeza.

“Kami berharap, dengan kemunculan album ini tidak lama lagi, ia akan mengubati rindu peminat yang mungkin sudah lama menantikannya,” ujarnya.

Selain itu, Kembara juga akan melancarkan buku biografi tentang sejarah dan perjalanan kumpulan itu untuk rujukan generasi akan datang.

Sebelum ini, Kembara pernah tampil dengan tujuh album iaitu Kembara pada 1981; Perjuangan (1982), Generasiku (1983), Seniman Jalanan (1984), 1404 Hijrah (1984), Duit (1985) dan Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKAN mudah melihat penyanyi legenda, Datuk M Nasir berlakon drama bersiri. Kali terakhir penyanyi berusia 60 tahun ini muncul di kaca televisyen (TV) sebagai pelakon menerusi Salam Taj Mahal pada 2000.
  • PENYANYI yang banyak gelaran ini sememangnya tidak perlu disangkal lagi. Penglibatannya dalam industri seni sudah lama.
  • SELEPAS tujuh bulan ‘mengembara’, penyanyi dan komposer, Datuk M Nasir berjaya menamatkan siri jelajah Konsert M Nasir... Kembara di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 7 November lalu.
  • KEMBARA figura ini telah bermula bukan sedekad yang lalu, tetapi telah pun menjangkau ke usia empat dekad lamanya.
  • BERKONGSI mengenai penglibatan rakan-rakan seperjuangannya, penyanyi berusia 62 tahun ini melahirkan rasa terharu apabila nama-nama besar seperti M. Nasir, Hattan, Awie dan Ella memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran konsert itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.