FILEM bergenre komedi, seram, romantik barangkali menjadi filem 'ruji' terbitan Metrowealth (MIG).

Namun kali ini, penonton perlu memberi perhatian kepada filem ke-98 terbitan MIG, Kaki Kitai. Pendek kata, filem arahan Azaromi Ghozali ini tampil dengan lawak lebih segar dan sesuai dengan judulnya, Kaki Kitai.

Jalinan komedi dan aksi yang disampaikan juga seakan dekat dengan jiwa penonton, apatah lagi komedi yang diterapkan dalam filem ini disampaikan secara bersahaja.

Kaki kitai diambil daripada bahasa pasar yang sering digunakan bagi menggambarkan individu yang suka menipu untuk kepentingan diri sendiri. Dengan kata lain, kaki kitai bermaksud kaki tipu.

Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Fezrul Khan, Farid Kamil, Adam Corrie, Along Eyzendy dan juga Epy Kodiang, filem ini juga menyaksikan Emily Chan diangkat sebagai heroin, dibantu pelakon MIG lain seperti Zalif Sidek, Faith Zakie dan Your.

Kaki Kitai mengisahkan tentang dua orang sahabat baik, Grenggo/Din (Shaheizy) dan Ayoi (Fezrul). Grenggo/Din sering menipu Ayoi dan berbangga dengan dirinya yang sangat hebat, kaya, terkenal dan macam-macam lagi sedangkan pada hakikatnya, Grenggo/Din hanya orang biasa yang bekerja di sebuah hotel.

Ayoi yang kurang cerdik sangat kagum dengan Grenggo/Din dan meminta pertolongannya untuk mendapatkan kerja sebagai chef, lalu sanggup datang ke Kuala Lumpur setelah diyakinkan oleh Grenggo/Din.

Semasa mereka bercadang untuk makan tengah hari di sebuah restoran, mereka secara tidak sengaja telah menggagalkan operasi pihak polis menangkap mafia Geng Lidi diketuai Branco (Adam).

Operasi tersebut telah dikendalikan oleh Inspektor Farid (Farid) yang juga merupakan teman sekampung mereka berdua. Branco sangat berang kerana telah ditipu lalu menculik tunang Inspektor Farid, Mimi (Emily) dan dijadikan sebagai tebusan.

Bagaimanapun kehidupan Grenggo/Din dan Ayoi mula bertukar apabila menemui bungkusan sampah yang dipenuhi duit dan digunakan untuk melangsaikan hutang.

Namun, duit tersebut sebenarnya adalah milik seorang jutawan yang ingin menyelamatkan anak perempuannya (Mimi) yang telah diculik.

Secara keseluruhannya, tatkala melihat judul dan trailernya, penulis sangkakan Kaki Kitai adalah sebuah filem dengan hasil yang tidak jauh berbeza dengan filem-filem terbitan MIG sebelum ini.

Gandingan menjadi

Bagaimanapun sejak awal lagi, Azaromi berjaya mengunci perhatian penonton dengan penampilan berbeza Fezrul yang berperwatakan lurus bendul dan cepat mempercayai Grenggo/Din.

Apatah lagi, tindakan Ayoi yang sukar menyebut perkataan 'yehaa' juga sudah membuatkan penonton pecah perut dengan raut wajahnya yang sering naif.

Selain itu, komedi yang lebih segar dan tidak diulang daripada filem-filem sebelumnya menjadi kelebihan buat Kaki Kitai.

Bukan itu sahaja, gandingan Sam dan Fezrul pula memberi nafas baharu kepada penonton kerana kedua-duanya nampak serasi bersama.

Plot ringan

Namun dari segi jalan cerita, bagi penulis, ia sudah boleh dijangkakan biarpun ada ketika, babak seterusnya adalah babak yang tidak dijangkakan.

Bagaimanapun penulis rasakan, Emily tidak sesuai bergandingan bersama Farid sebagai pasangan kekasih dan jika mereka dicorak sebagai sebuah keluarga, itu sudah memadai.

Jadi bagi anda yang ingin mengetahui apakah kesudahan operasi ini? Adakah Grenggo/Din dan Ayoi akan terlibat dengan operasi itu? Dapatkan Inspektor Farid menyelamatkan
Mimi? Adakah Grenggo/Din akan terus menjadi kaki kitai?

Jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan anda.