SEIRING musim cuti dan awal tahun, Astro secara eksklusif membawakan program berbentuk jurnal yang berkongsi hari-hari percutian penghibur terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain Siti, turut sama ialah keluarga besar penyanyi yang kini popular menerusi lagu Segala Perasaan itu.

Melalui 10 episod, penonton berpeluang melihat bagaimana keluarga popular ini mengharungi pelbagai cabaran saat bercuti di negara yang memiliki keterbatasan dalam soal bahasa dan adatnya.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berbesar hati terhadap kesudian dan komitmen penyanyi terkenal itu untuk terlibat sekali gus berkongsi pengalaman percutian mereka buat tatapan peminat.

“CTDK-ation selain memaparkan sisi percutian keluarga besarnya, lebih menarik ialah penonton dapat menyaksikan sendiri aksi kandid dan spontan keluarga ini yang turut dimuatkan sepanjang program.

"Meski ia baru ditayangkan, namun itu tidak menjadi persoalan memandangkan CTDK-ation memiliki nilai eksklusif,” katanya.

Pengalaman berharga

Sementara itu, Siti menyifatkan peluang yang diterima merupakan pengalaman yang amat berharga.

Selain itu kata Siti, mereka sekeluarga bukan saja dapat rehatkan minda dengan bercuti, tapi paling utama dapat meluangkan masa berkualiti dengan anggota keluarga seterusnya mengeratkan lagi hubungan kasih sayang.

"Sepanjang penggambaran, semuanya berjalan dengan sempurna,” terangnya.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Segala Perasaan ini turut mendedahkan kerenah sebenar suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa

Bahkan, katanya, jurnal itu juga akan membongkar kisah suka-duka keluarga besarnya sepanjang percutian selama 24 hari di Portugal, Sepanyol dan Dubai.

“Penonton akan melihat sendiri saya dan suami sepanjang bercuti di luar negara. Pendek kata rancangan realiti ini akan menonjolkan pelbagai drama yang eksklusif. Ada suka, duka, gembira, marah dan sebagainya.

“Inilah masanya untuk penonton berpeluang menyaksikan sisi berbeza kami,” katanya.

Pengembaraan CTDK-ation telah disertai 24 ahli keluarga besarnya seawal usia 7 bulan hingga 78 tahun.

Percutian ini turut mendapat kerjasama daripada Ziarah Harmoni Travel and Tours dan Dubai Tourism.

Trivia:

- Selain berkunjung ke destinasi percutian popular, mereka turut berpeluang mengunjungi komuniti Muslim di Seville, Sepanyol yang nyata memberi pengalaman baru buat mereka.

- Lebih bermakna, turut sama di dalam percutian tersebut ialah kedua ibu pasangan ini, Siti Salmah Bachik dan Siti Zainab Hanafi.

- Ketika rakaman dilakukan, Tya Ariffin pada ketika itu sedang sarat mengandungkan anak pertamanya.

- Siti sempat membuat persembahan istimewa di atas sebuah kapal persiaran ketika di Dubai khas untuk menghiburkan peminatnya.

Nama program : CTDK-ation

Tayangan : Jumaat, 9 malam bermula 29 Disember 2017

Saluran : Astro Ria dan Ria HD