Baru dua hari ditayangkan, filem ketujuh arahan Syafiq Yusof, KL Special Force berdepan satu kontroversi yang mengejutkan.

Ini berikutan tindakan sebuah page di laman sosial Facebook yang mengajak orang ramai untuk memboikot filem tersebut, hanya disebabkan tidak berpuas hati dengan salah seorang penerbit filem berkenaan.

Syafiq menerusi kenyataannya kepada Sinar Harian berkata, Skop Productions dan Viper Studios telah menghasilkan pelbagai jenis filem dengan pelbagai rakan kongsi yang berbeza.

"Bagi filem KL Special Force, saya menerima pelaburan mengikut proses undang-undang dari syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Pihak kami juga mengenal pasti bahawa pihak rakan kongsi tidak disabitkan apa-apa kesalahan dari segi perundangan Malaysia.

"Maka sebab itulah kami menerima pelaburan usahasama dari pihak Damofa Productions melalui proses perjanjian hitam putih yang sah dari segi undang-undang," katanya.

Tambah Syafiq, sekiranya ada pihak bermasalah dengan Damofa Productions, seeloknya membuat laporan polis agar siasatan dapat dilakukan.

"Tidak adil untuk memboikot filem saya yang saya usahakan dengan bersungguh-sungguh tanpa melanggar apa-apa undang-undang negara ini," akhirinya.

Bagaimanapun tinjauan terkini Sinar Harian mendapati page tersebut telah pun dipadamkan.