SEMPENA sambutan Jubli Emas Gerakan Belia 4B Malaysia, produksi Belbis Sdn Bhd akan memeriahkan Lambang Sari Istana Budaya dengan pementasan Y Sebuah Muzikal pada bulan kemerdekaan ini.

Projek yang mensasarkan golongan remaja ini dijalankan bagi merangsang minat mereka kepada seni teater yang semakin berkembang di kalangan masyarakat sekali gus meraikan sambutan Jubli Emas Belia 4B Malaysia.

Pengarahnya, Khairunawan Rodzy berkata, teater ini membawakan semangat orang muda yang dilakonkan oleh Haikal (Aiman Hakim Redza) di mana beliau berjaya mencipta kejayaan hidup meski pun dilahirkan sebagai pemuda kampung yang serba kekurangan.

Selain Aiman Hakim, turut membintangi Y Sebuah Muzikal adalah Fathia Latiff, Sarah Hildebrand, Arja Lee dan ramai lagi.

“Teater ini diberi sentuhan menarik dengan teknik imbasan semula yang mampu mengembalikan ingatan terhadap sejarah orang lama berkaitan belia.

“Akan berlaku pertembungan di antara golongan belia dan tua dan di sinilah wujudnya keseronokan untuk menonton. Saya pasti pandangan penonton akan berubah apabila menyaksikan pementasan ini nanti.

“Mengenai aspek lakonan pula, saya percaya dengan kebolehan barisan pelakon yang ditampilkan. Mereka masih muda dan boleh dibentuk untuk menyerlah di pentas teater. Tempoh masa latihan yang cukup juga membolehkan mereka menghayati watak dengan berkesan,” katanya.

Alumni Belia 4B Malaysia, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang juga bekas Presiden Belia 4B yang juga Presiden turut hadir merasmikan majlis.

Pementasan yang akan memakan masa sembilan hari bermula daripada 22 hingga 30 Ogos nanti.

Sementara itu, bagi Aiman Hakim yang pernah menimba pengalaman membintangi teater Bidasari yang dipentaskan di IB pada tahun lalu, mengakui banyak belajar daripada pengalaman dan berjanji akan memberikan lakonan yang terbaik kepada peminat.

Saya sedar beberapa kelemahan pada penampilan pertama menerusi Bidasari. Namun kalau diikutkan ramai juga memuji kerana dengan tempoh latihan hanya seminggu, saya berjaya memberikan persembahan yang memuaskan hati.

“Kali ini, saya mempunyai tempoh masa latihan yang panjang dan seharusnya saya akan menggunakan kesempatan ini untuk menghayati watak Haikal. Teater ini mempunyai nilai patriotik dan ia banyak mengajar saya nilai-nilai cintakan negara,” katanya. 
 
Jenama baharu Istana Budaya
 
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya mengalu-alukan pementasan yang menyasarkan golongan remaja untuk mendekati IB.

“Perancangan untuk buat teater ini dah dibuat sejak dua tahun lalu. Menerusi Y Sebuah Muzikal, kita dapat lihat seorang tokoh belia yang tersohor diangkat sebagai ikon belia negara.

“Sememangnya muzikal remaja sangat kurang dipentaskan di IB dan inilah saja cara untuk tarik mereka supaya datang. Saya rasakan ia satu jenama baharu untuk IB, apatah lagi pelakonnya adalah nama yang popular di kalangan remaja.

“Sebenarnya tajuk asal teater ini adalah lain dan saya mencadangkan tajuk Y Sebuah Muzikal sebagai tajuk sementara. Tak sangka pula ia dikekalkan. Tajuk ini dilihat sesuai kerana generasi sekarang sukakan benda yang ringkas,” jelasnya.  

Y Sebuah Muzikal turut menjadikan High School Musical dan Glee sebagai sumber rujukan ekoran kejayaan kedua-dua teater ini yang menerima respons hangat daripada peminat.