PERNAHKAH anda mengingati filem romantis, Bidasari yang dilakonkan Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Sarimah Ahmad yang ditayangkan sekitar tahun 1965.

Filem ini cukup menarik bukan kerana jalan ceritanya sahaja bahkan dialog yang berirama dan penuh dengan kata-kata puitis.

Dari filem hitam putih, Bidasari dipertontonkan kembali dengan cara penyampaian yang berbeza dan lebih warna-warni menerusi pentas teater.

Biarpun teater Bidasari arahan Lokman Ghani itu baru sahaja melabuhkan tirai selepas seminggu dipentaskan bermula bermula 10 hingga 17 Februari di Istana Budaya, (IB) Kuala Lumpur, namun ia masih segar bermain di minda penulis.

Selain menampilkan Nur Fathia sebagai Bidasari, teater ini turut dibintangi Aiman Hakim Ridza (Tengku Indra), Raja Azura (Permaisuri), Jalaluddin Hassan (Raja), Radhi Khalid (Saudagar), dan Hairul Azreen (Tengku Iskandar).

Diadaptasi daripada filem, ternyata teater ini tidak mengecewakan penonton dengan mutu lakonan yang terbaik daripada barisan pelakon.

Sedikit mengenai jalan cerita teater ini, plot cerita bermula apabila seorang saudagar bertemu dengan bayi dan balang ikan emas yang dihanyutkan dalam sampan.

Nyawa bayi dan ikan tersebut berhubung kait antara satu sama lain. Sekiranya ikan itu dikeluarkan dari balang, bayi yang dinamakan Bidasari itu akan mati.

Setelah bayi tersebut membesar menjadi gadis jelita, kecantikannya dicemburui terutamanya Permaisuri jahat yang ingin membunuh Bidasari.

Dari situ, bermulalah episod duka Bidasari apabila Permaisuri menjemputnya ke istana.

Tidak dinafikan, walaupun ada di antara mereka ia merupakan pertama kali berlakon teater namun mereka tidak kekok menghayati watak masing-masing.

Terutamanya watak Fathia yang didera dan dipukul Permaisuri akibat cemburu dengan kecantikan Bidasari.

Malah penonton turut terpesona dengan Fathia apabila mampu menari tarian tradisional dengan baik, biarpun menggunakan suara 'miming' atau 'lip synch' ketika menyanyi.

Begitu juga dengan Aiman yang menyanyi dan menari di samping Fathia, mereka begitu serasi bersama.

Dalam masa yang sama, penggunaan prop juga memainkan peranan penting dalam teater ini untuk menggambarkan situasi dan tempat seperti istana, rumah saudagar, kawasan bersemayam Permaisuri, bilik rahsia dan sebagainya.

Selain itu, penggunaan cahaya juga berjaya menghidupkan suasana dan menaikkan mood penonton untuk terus menumpukan perhatian terhadap aksi mereka.

Kak Engku paling menyerlah

Biarpun sudah sekian lama meninggalkan dunia teater, Raja Azura atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Engku itu dilihat paling menyerlah ketika membawakan watak Permaisuri Laila Sri yang jahat.

Tidak dinafikan, dia antara faktor yang menghidupkan lagi pementasan tersebut dengan permainan emosi yang penuh dengan tipu muslihat.

Malah penonton turut kagum dengan aksinya bersilat dan bertarung dengan Aiman dan Hairul ketika di pengakhiran cerita tersebut.

Memegang watak antagonis, Kak Engku mencemburui kecantikan rupa paras yang dimiliki Bidasari sehingga bertindak ganas dengan memukul, memijak dan menarik rambut Fathia.

Menurutnya, penghayatan penuh diberikan supaya perasaan marah dapat dilontarkan sepenuhnya kerana tidak mahu ada mana-mana wanita yang lebih cantik daripadanya.

"Sekiranya ada wanita yang mengatasi, maka mereka akan menerima nasib buruk sehingga dibunuh.

"Begitulah kekejaman permaisuri yang sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan keinginannya.

"Mungkin agak sukar pada mulanya tetapi setelah berlatih sekian lama, saya dapat menghayati watak ini dengan baik," katanya.

Malah tidak dinafikan, lakonan Kak Engku seakan menenggelamkan karakter utamanya, Fathia.

Aiman tunjuk 'taring'

Pertama kali melibatkan diri dengan pementasan teater nyata beri pengalaman perit buat pelakon dan penyanyi, Aiman Hakim Ridza.

Memegang watak sebagai Tengku Indra, dia perlu belajar seni mempertahankan diri untuk babak pertarungan.

Menurutnya, ia merupakan cabaran besar yang dialaminya namun persembahannya pada malam pementasan masih berjaya dibawa dengan baik.

Secara keseluruhan, penghayatannya tidak mencacatkan persembahannya ketika babak berlawan bersama Hairul dan Raja Azura.

"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik. Ini pengalaman baru saya sebagai pelakon.

"Biarpun sebelum ini saya akui babak silat beri cabaran namun saya berjaya lakukan walaupun ia tidaklah begitu sempurna.

"Apa yang paling saya risau, babak berlawan dengan Hairul yang memang pandai bertarung," katanya.

Tambahnya, latihan intensif yang diberikan pihak produksi untuk belajar silat dia lakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Selama dua minggu saya berlatih dengan guru silat sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.

"Walaupun badan saya dipenuhi lebam hasil latihan ini namun saya berpuas hati," katanya yang menjadikan Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai rujukan untuk membawa watak itu.

Sisi berbeza Fathia  

Melihatkan gandingan serasi Aiman dan Nur Fathia Abdul Latiff, sudah tentu mereka tiada masalah kerana banyak kali digandingkan bersama menerusi drama mahupun telefilem.

Namun berlainan yang berlaku, apabila Fathia mengaku dia gugup berlakon di atas pentas terutamanya di hadapan orang ramai.

Berkongsi cerita mengenai rasa gugupnya berlakon di atas satu pentas yang sama sebelum ini, Fathia bagaimanapun mampu mengatasi perasaan tersebut.

"Alhamdulillah... Ia memberikan saya satu pengalaman baru dan tidak pernah terfikir pun untuk mencuba bidang ini.

"Ketika mula menerima tawaran ini, saya sangat teruja dan gembira untuk menyertai pementasan bangsawan ini," katanya.

Ditanya mengenai cara dia mengatasi masalahnya untuk berlakon di khayalan ramai, Fathia menjelaskan dia membayangkan berlakon di hadapan kamera bukannya di atas pentas.

"Ia perkara biasa bagi saya kerana pertama kali menyertai teater namun saya ingin mengatasi masalah ini.

"Tambahan pula, selain berlakon saya perlu menari dan menyanyi.

"Saya bernasib baik kerana sebelum ini pernah menyertai kelab tarian di sekolah," katanya.