BAKAL menyaksikan program Clever Girl Malaysia (CGM) musim kedua yang dijadualkan pada 4 Ogos depan, penerbit rancangan, Shazreena Mohd Kassim memberitahu pelakon Alif Satar masih kekal sebagai pengacara tetap rancangan tersebut.

Berikutan pada CGM tahun lalu bintang itu dilihat mampu dan berjaya mengawal keadaan ketika netizen melemparkan kritikan dan komen pedas sewaktu peserta gagal menjawab soalan yang diajukan.

"Pemilihan dan ketetapan terhadap Alif Satar sebagai pengacara CGM dipercayai atas kebolehannya mengendalikan program kami.

"Malah kemampuannya mengawal situasi dengan tenang menjadikan kami lebih percaya akan kredibilitinya. Jadi secara tidak langsung Alif merupakan pengacara yang tepat untuk CGM," jelas penerbit program tersebut.

Terdahulu rancangan CGM menyaksikan peserta berasal dari Kelantan, Fatin Nuraisya telah dinobatkan sebagai Clever Girl Malaysia yang pertama. Hasil kemenangan itu beliau membawa pulang hadiah utama wang tunai bernilai RM100,000.

CGM menampilkan 14 peserta wanita yang bijak pandai dan berperwatakan menarik dengan mewakili 13 negeri dan 1 negeri Wilayah Persekutuan di Malaysia.

Rancangan ini boleh ditonton di saluran TV3 pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam.