MUZIK salah satu fokus utama pengarah filem terkenal, Syamsul Yusof tahun ini. Bergandingan bersama sepupunya, Anwar Fazal, menerusi band yang diberi nama, Burn & Soul, anak kepada penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam ini yakin mampu pergi lebih jauh.

Meskipun sibuk dengan pembikinan filem, ia tidak menghalang pengarah muda ini untuk merealisasikan minatnya dalam bidang muzik.   

“Ramai tak tahu saya terlibat muzik. Saya dah menghasilkan empat single, tetapi lagu saya tak dimainkan di radio.

“Namun siapalah saya untuk bersuara, sedangkan penyanyi sehebat Anuar Zain juga pernah berdepan nasib sama. Apa pun yang berlaku, saya tetap mahu serius dalam muzik,” katanya.

Bagaimanapun, Syamsul turut bersyukur apabila lagunya, Ya Robbi, yang menjadi runut bunyi untuk filem Kurafat mendapat tempat di sesetengah radio.

“Filem KL Drift 2 dulu saya ada nyanyi juga, tetapi paling ketara sekali filem Khurafat. Saya rap dan sepupu saya menyanyi.

“Alhamdulillah, dapat sambutan yang baik di sesetengah radio saja seperti Ikim. Sebab Ikim kan radio Islamik dan lagu itu pun Islamik,” katanya yang pernah membuat persembahan di konsert Hafiz Hamidun, sebelum ini.

Dalam pada itu, pengarah muda ini merancang untuk melancarkan salah satu single secara rasmi.

“Tahun ini, saya nak betul-betul menghasilkan lagu. Kami pun dah ada satu lagu yang nak dilancarkan secara rasmi,” katanya.

Bercakap soal filem pula, Syamsul yang bakal tampil dengan filem terbarunya, KL Gangster 2, kini membuat kajian bagi menghasilkan filem epik.

“Saya juga sedang buat kajian untuk menghasilkan filem epik. Lambat lagi tetapi untuk menghasilkan filem epik memerlukan dana dan harus ada skrip yang ‘proper’,” katanya.

Akui lebih sukakan cabaran, pengarah berusia 29 tahun ini lebih memilih untuk menjadi pengarah berbanding pelakon.