JOHOR BAHRU - Penggunaan teknologi insinerator seperti dicadangan kerajaan terdahulu merupakan pendekatan terbaik untuk digunakan di tapak pelupusan sampah Bukit Payong, Batu Pahat.

Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, melihat kepada perkara itu, adalah wajar projek tersebut diteruskan selain ia juga membabitkan kos lebih minima bagi peringkat awal.

“Cadangan penggunaan teknologi tersebut sudah pun diajukan kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini dan pada dasarnya perkara itu telah mendapat persetujuan.

“Kawasan di Bukit Payong sesuai untuk digunakan teknologi insinerator itu memandangkan ia tidak melibatkan kos yang tinggi semasa di peringkat awal. Maka, saya sarankan usaha merealisasikan cadangan itu diteruskan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hasni berkata, tapak pelupusan sampah yang dicadangkan di Bukit Payong itu seharusnya tidak menerima nasib sama seperti yang berlaku di Renggam, Kluang.

“Menteri Besar seharusnya menolak sebarang alasan khususnya ketiadaan peruntukan kerana kerajaan negeri mempunyai rizab yang besar. Ia sewajarnya boleh digunakan demi kepentingan penduduk di Bukit Payong.

“Tapak sisa pepejal di Renggam, Kluang tidak dapat menampung 600 tan sisa setiap hari, malah kerap berlaku air leachate apabila air hujan dan limpahannya akan mengalir ke sungai sekali gus menyebabkan loji rawatan air terpaksa dihentikan operasi kerana kualiti air sungai yang terlalu tercemar,” katanya.

 Jelasnya, berikutan perkara itu, kaedah pelupusan sisa pepejal sanitari tidak lagi sesuai selain perlu mengambil kira lokasi tapak.

Terdahulu, kerajaan negeri kini dalam usaha mengusulkan cadangan kepada kerajaan persekutuan untuk mencari lokasi penggantian pusat pelupusan sampah Bukit Payong sekiranya projek itu dihentikan.

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, ia berikutan terdapat beberapa perkara masih berada di dalam perbincangan selain perlu diteliti agar tidak merumitkan keadaan yang berlaku.

[ARTIKEL BERKAITAN:Lokasi ganti tapak sampah Bukit Payong belum diputuskan]

[ARTIKEL BERKAITAN:Kos besar jika henti projek]