Tanam harumanis boleh tambah pendapatan petani

Ahmad menunjukkan mangga harumanis yang ditanamnya di Kampung Pida 7, Kubang Pasu pada Selasa.
Ahmad menunjukkan mangga harumanis yang ditanamnya di Kampung Pida 7, Kubang Pasu pada Selasa.
A
A
A

KUBANG PASU - Petani di Kedah disaran menanam tanaman mangga harumanis sebagai pendapatan sampingan berikutan permintaan tinggi terhadap buah tersebut.

Pengerusi Persatuan Harumanis Kedah, Othman Ismail berkata, kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati kualiti dan kewangian harumanis Kedah hampir sama dengan Perlis.

Menurutnya, petani di negeri ini seharusnya tidak melepaskan peluang itu selepas harumanis yang dijenamakan sebagai Harumanis D'Aman kini semakin dikenali dan mendapat permintaan ramai dari seluruh negara.

Othman (kanan) dan Mohd Yusof (kiri) melihat hasil tanaman mangga harumanis yang diusahakan oleh petani, Ahmad Mat Hassan di Kampung Pida 7, Kubang Pasu pada Selasa.
Othman (kanan) dan Mohd Yusof (kiri) melihat hasil tanaman mangga harumanis yang diusahakan oleh petani, Ahmad Mat Hassan di Kampung Pida 7, Kubang Pasu pada Selasa.

"Cuaca di Kedah pun, perbezaan suhu dengan Perlis hanya satu darjah Celsius sahaja tetapi ia melepasi tahap yang diperlukan.

"Rugi sekiranya petani di Kedah tidak menanam harumanis kerana pulangannya berganda dari tanaman sawah," katanya kepada pemberita semasa ditemui di ladang harum manis di Kampung Pida 7, dekat sini pada Selasa.

Othman berkata, terdapat pengusaha yang aktif mengusahakan tanaman tersebut dan berjaya mendapat pulangan lumayan selepas beberapa tahun menanamnya.

Walau bagaimanapun, menurutnya, pada musim ini pengeluaran hasil harumanis dijangka merosot sehingga 50 peratus berikut faktor cuaca panas luar biasa sejak beberapa bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

“Tahun lepas, hasil harumanis yang diperoleh di Kedah lebih 100 tan metrik tetapi tahun ini kurang 50 peratus disebabkan faktor cuaca panas selain menghadapi masalah air.

"Sebenarnya bukan kita sahaja yang berhadapan dengan hasil sedikit, Perlis pun berlaku pengurangan hasil sehingga menyebabkan ramai yang berebut mencari buah ini,” ujar beliau.

Anak dan menantu kepada Ahmad iaitu Rosmadi Ahmad, 47, (kiri) dan Murni Othman, 37, memetik mangga harumanis di Kampung Pida 7, Kubang Pasu pada Selasa.
Anak dan menantu kepada Ahmad iaitu Rosmadi Ahmad, 47, (kiri) dan Murni Othman, 37, memetik mangga harumanis di Kampung Pida 7, Kubang Pasu pada Selasa.

Tambah Othman, lebih 110 hektar tanaman harumanis diusahakan oleh 128 ahli Persatuan Harumanis Kedah di seluruh Kedah dan dijangka jumlah ahli dan keluasan tanaman bakal bertambah selepas ramai menunjukkan minat untuk menyertainya.

Sementara itu, seorang pengusaha harumanis, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, petani boleh mengusahakan tanaman harumanis di kawasan tanah lapang milik mereka dan permulaan dengan 30 pokok pun sudah mampu beri pulangan yang banyak.

Beliau yang mempunyai kira-kira 5,000 pokok di sekitar Padang Sera, Alor Setar, Kuala Nerang dan Pokok Sena berkata, pulangan yang diperolehi daripada tanaman itu cukup baik dan boleh dianggap sebagai memuaskan.

"Kualiti Harumanis D'Aman ini mungkin jauh lebih baik berbanding negeri jiran kita, kita mahu pastikan buah yang dihasilkan di Kedah ini bakal menjadi buah terbaik di pasaran.

"Sekiranya lebih ramai rakyat Kedah yang mengusahakan harumanis ini, mungkin dalam tempoh dua, tiga tahun nanti kita mampu untuk menampung permintaan domestik dan antarabangsa," kata beliau.

Bagi seorang lagi pengusaha, Ahmad Mat Hassan, mengakui tanaman harumanis mempunyai potensi besar dan perlu dimanfaatkan oleh petani untuk menambah pendapatan sampingan sepertinya.

“Potensi pendapatan dari harumanis ini lumayan berbanding sawah selepas beberapa tahun diusahakan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

"Pada tahun ini saya anggarkan lebih empat tan metrik hasil buah diperoleh berbanding dua dan tiga tan metrik pada tahun-tahun sebelum ini,” ujarnya yang menanam 94 pokok harumanis sejak 2015.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!