Hobi kumpul reptilia eksotik cetus idea buka kafe

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman makan sambil bermain dengan haiwan eksotik seperti ular, sesumpah dan lain-lain. Foto Instagram @fangs.kl
Pengunjung berpeluang merasai pengalaman makan sambil bermain dengan haiwan eksotik seperti ular, sesumpah dan lain-lain. Foto Instagram @fangs.kl
A
A
A

SHAH ALAM - Mempunyai hobi mengumpul dan memelihara reptilia eksotik seperti ular, cicak jenis gecko serta sesumpah sejak kecil mendorong seorang anak muda untuk membuka kafe ular pertama di negara ini.

Pemilik Fangs by Dekori, Yap Ming Yang berkata, tercetusnya idea membuka kafe berkonsepkan santai dengan pelbagai hidangan pencuci mulut itu kerana ia belum pernah direalisasikan oleh sesiapa.

Justeru, pemuda berusia 21 tahun tersebut mengambil pendekatan berani dengan membuka satu cawangan di mana pengunjung boleh berinteraksi dengan haiwan berkenaan sambil menikmati manisan.

Antara reaksi pengunjung ketika bermain dengan haiwan eksotik. Foto Instagram @fangs.kl
Antara reaksi pengunjung ketika bermain dengan haiwan eksotik. Foto Instagram @fangs.kl

“Memandangkan hobi ini bukan satu kebiasaan, dalam perspektif kawan-kawan dan saudara-mara saya ini sesuatu yang mengejutkan serta menakjubkan.

“Disebabkan inilah saya dapat idea untuk buka kedai berkonsepkan kafe reptilia pertama di Malaysia yang belum pernah dibuat.

“Walaupun baharu dibuka pada Disember tahun lalu, penerimaan pengunjung amat positif, memberangsangkan dan menggalakkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Antara reptilia yang dipelihara ialah ular jagung, ‘ball phyton’, ‘milk snake’ dan ‘mexican black kingsnake’, namun terdapat juga serangga seperti ‘rose hair tarantula’ serta beberapa kategori cicak gecko.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai proses membuka kafe berkenaan, Ming Yang mengakui pada mulanya agak sukar direalisasikan kerana perlu mendapat permit dan lesen memelihara ular terlebih dahulu.

Tambahnya, sebagai permulaan, dia menulis surat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor tentang penjagaan setiap haiwan yang diletakkan di kedai dan ia mendapat persetujuan serta sokongan daripada pihak terbabit.

Bagaimanapun, segala operasi pematuhan standard (SOP) yang ditetapkan perlu dipatuhi agar tidak melanggar mana-mana etika dalam memelihara haiwan eksotik.

“Sebenarnya nak bela hidupan eksotik ini bukannya sesuatu yang mahal kerana perbelanjaannya sangat sedikit, lima kali lebih kurang daripada pelihara kucing atau anjing.

“Ini disebabkan ular hanya makan sekali dalam dua minggu dan dietnya cuma anak tikus.

“Jadi, saya harapkan orang ramai datang rasai pengalaman makan sambil menikmati tarikan yang ada di cawangan kami di Bandar Sunway, Subang Jaya,” ujar Ming Yang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!