YAN - Kemeriahan Bulan kebangsaan kian terasa dengan pemasangan Jalur Gemilang di sekitar kampung.

Penduduk Kampung Kuala Dulang Kechil tidak ketinggalan memasang Jalur Gemilang di sekitar kampung mereka.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kuala Dulang Kechil, Ismail Zain berkata setiap tahun penduduk kampung akan bergotong-royong memasang jalur gemilang.

Katanya, mereka memperuntukkan hampir RM1,000 untuk persediaan buluh, bendera dan peralatan lain yang diperlukan.

"Sebagai ketua di kampung ini saya sangat komited dalam memastikan penduduk sentiasa bersemangat menyambut hari bersejarah buat negara," katanya.

Ismail berkata, aktiviti pemasangan bendera di sekitar kampung yang menempatkan kira-kira 500 orang penduduk ini sering dilakukan saban tahun.

"Orang kampung sendiri bersemangat untuk memasang bendera bagi memastikan kemeriahan bulan kemerdekaan.

"Kanak-kanak juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam bergotong-royong memasang jalur gemilang ini," katanya.

Bot yang terletak di pintu gerbang kampung turut dihiasi Jalur Gemilang. Inline image

Kerjasama dalam kalangan penduduk tidak dapat disangkal lagi apabila kampung ini turut cemerlang dalam beberapa pertandingan yang disertai.

Menurut Ismail, Kampung Kuala Dulang Kechil pernah memenangi beberapa pertandingan antaranya ialah naib johan pertandingan Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADSIM) peringkat daerah.

"Kampung ini juga pernah memenangi tempat pertama Kampung Paling Ceria bagi Parlimen Jerai dan banyak lagi," katanya.

Disebabkan ramai dalam kalangan penduduk kampung ini terlibat dengan aktiviti nelayan penduduk mengambil keputusan untuk menghiasi pintu gerbang masuk ke kampung berkenaan dengan sebuah bot.

"Bot berkenaan dihiasi Jalur Gemilang yang menarik perhatian sesiapa sahaja yang mengunjungi kampung berkenaan," katanya.