Bendera Melaka silap bucu bintang, Poay Tiong ‘seru’ nama Akmal Saleh

Poay Tiong dan Akmal Saleh
Poay Tiong dan Akmal Saleh
A
A
A

MELAKA - Kesilapan reka bentuk bintang pada bendera Melaka yang tular di media sosial sejak Rabu turut menarik perhatian Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.

Beliau secara sinis meminta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Akmal, tolong maklum kepada YAB CM (Yang Amat Berhormat Ketua Menteri) Melaka, bintang dalam bendera Melaka ini ada silap,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu tular di hantaran Threads gambar pelekat pada kenderaan yang digunakan bagi program Ketua Menteri memaparkan bendera Melaka dengan 10 bucu bintang sedangkan yang tepat ialah lima.

Pada hantaran berasingan pula Poay Tiong turut memaparkan visual bendera Melaka yang mempunyai kesilapan sama pada sepanduk di Facebook BN DUN Asahan.

Poay Tiong turut meminta pihak yang mengendalikan halaman berkenaan membetulkan kesilapan tersebut.

“Ada kesilapan pada bendera Melaka. Kepada sesiapa yang mengenali admin page tersebut, tolong maklumkan kepada mereka supaya boleh diperbetulkan.

“Tapi jangan sampai marah-marah mereka seperti Akmal pula,” katanya secara berseloroh.

Beliau pada masa sama mengingatkan anggota Pakatan Harapan (PH), khususnya mereka yang terlibat menghasilkan bahan visual, supaya memastikan penggunaan bendera Malaysia dan Melaka dibuat dengan betul.

Artikel Berkaitan:

“Kita faham sekarang ramai yang menggunakan AI untuk membantu menghasilkan reka bentuk. Tetapi, setiap hasil tetap perlu disemak dan diperiksa dengan teliti sebelum dimuat naik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!