[VIDEO] ‘Kami tidak pilih atau turunkan Yang di-Pertuan Besar’ - MB Negeri Sembilan

A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan bahawa beliau dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka membuat keputusan berhubung pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat.

"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan atau Menteri Besar telah menurunkan Yang di-Pertuan Besar adalah tidak tepat.

"Yang di-Pertuan Besar tidak dipilih oleh Menteri Besar atau kerajaan negeri. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) memperuntukkan peranan khusus kepada Undang Yang Empat dalam pemilihan Yang di-Pertuan Besar, manakala perkara berkaitan adat serta proses yang menyentuh kedudukan institusi berkenaan hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh dan melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa," katanya dalam sidang akhbar bersama Exco di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Justeru, beliau berkata, adalah tidak benar untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar atau Exco mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta.

Malah tegas Ismail, kerajaan negeri tidak pernah mendakwa mempunyai kuasa sedemikian.

"Saya mengambil maklum kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semalam yang menyifatkan tindakan saya dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai biadab dan tidak bertamadun.

"Saya menghormati keprihatinan Perdana Menteri terhadap institusi Diraja. Namun saya bimbang teguran tersebut berasaskan gambar yang tidak lengkap tentang peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam perkara ini," katanya.

Selain itu katanya, Negeri Sembilan berbeza daripada negeri-negeri lain yang mana struktur tradisi pemerintahan Negeri Sembilan melibatkan Yang di-Pertuan Besar serta Undang Yang Empat, di samping peranan Dewan Keadilan dan Undang sebagaimana diperuntukkan oleh UUTKNS.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah apa-apa kemelut yang melibatkan adat dan institusi tersebut tidak wajar dipermudahkan menjadi pertikaian politik antara kerajaan negeri dengan Istana.

"Ia jauh lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti atau individu," katanya.

Oleh sebab itu, ujarnya, kerajaan berpandangan bahawa jalan penyelesaiannya mestilah kembali kepada adat, Undang-Undang Tubuh dan institusi yang diberikan bidang kuasa oleh undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!