Exco Negeri Sembilan 'dilarang' masuk pejabat di Wisma Negeri

Ismail (tengah) bersama barisan Exco Negeri Sembilan ketika mengadakan sidang media pada Khamis.
Ismail (tengah) bersama barisan Exco Negeri Sembilan ketika mengadakan sidang media pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tidak dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri di sini sejak Rabu termasuk menjalankan tugas mereka.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, arahan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa secara verbal dan tiada arahan bertulis dikeluarkan.

"Saya dimaklumkan bahawa ada perintah larangan ataupun arahan yang melarang ahli-ahli Exco memasuki pejabat masing-masing.

"Bukan setakat tidak boleh memasuki pejabat Exco, tetapi tidak boleh menjalankan tugas-tugas sebagai ahli Exco," katanya ketika sidang media di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim

Justeru, beliau memohon pihak berkuasa yang berkenaan untuk menilai semula arahan tersebut dengan segera termasuk asas dan skopnya, dengan mengambil kira pertikaian yang masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, ia penting demi memastikan urusan rakyat dan pentadbiran negeri tidak terganggu.

"Permohonan ini dibuat melalui saluran yang tertib tanpa menghalang pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab keselamatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk menyelesaikan pertikaian yang sedang berlaku,"katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri akan terus bertindak secara beradab, menghormati institusi Diraja Negeri Sembilan dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Ismail turut memaklumkan bahawa beliau selaku Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berhubung pemberhentian mana-mana Exco menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

"Dengan itu sekali lagi saya nak menegaskan bahawa Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

"Ini penting kerana pentadbiran kerajaan kena berjalan dan kepentingan rakyat mesti kita utamakan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya Exco tidak dibenarkan memasuki pejabat, mengadakan mesyuarat Exco dan menjalankan tugas seperti biasa, ia seperti menafikan hak rakyat sekaligus boleh menjejaskan pentadbiran negeri.

Tegasnya, kerajaan negeri yang ada ketika ini adalah kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat, manakala pelantikan Exco juga adalah sah.

"Bagi saya, ini satu perkara yang amat tidak wajar kerana tidak ada perintah mahkamah, tidak ada arahan bertulis dan sebagainya.

"Sekiranya ada pemecatan dan sebagainya, mestilah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan di mana salah satu daripada perkaranya ialah pemecatan Exco mestilah atas nasihat atau pandangan oleh Menteri Besar,"katanya.

Ismail memaklumkan, beliau bagaimanapun tidak berdepan halangan untuk memasuki pejabatnya di Wisma Negeri, sebaliknya larangan itu hanya melibatkan Exco.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!