'Nyatakan kesalahan dilakukan, jangan sekadar sebut kerajaan terdahulu' - Aminuddin

Aminuddin (kiri) mempersoalkan kenyataan Ismail yang mendakwa kemelut adat dan institusi Raja di Negeri Sembilan berpunca daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.
Aminuddin (kiri) mempersoalkan kenyataan Ismail yang mendakwa kemelut adat dan institusi Raja di Negeri Sembilan berpunca daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mempersoalkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang mendakwa kemelut adat dan institusi Raja di negeri ini berpunca daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Aminuddin berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya tindakannya ketika menjadi Menteri Besar dipersoalkan.

Namun ujarnya, ia perlulah dinyatakan dengan maklumat yang tepat sekiranya kemelut yang berlaku berpunca daripada pentadbirannya.

"Saya mengambil maklum kenyataan Menteri Besar yang cuba mengaitkan kemelut adat dan institusi Raja Negeri Sembilan dengan pentadbiran kerajaan terdahulu dan tidak mempunyai masalah untuk dipersoalkan.

"Jangan sekadar menggunakan istilah kerajaan terdahulu sebagai jawapan umum. Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya kerana dalam perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, sepanjang menjadi Menteri Besar, setiap tindakan dan keputusannya boleh dinilai berdasarkan rekod, dokumen serta kronologi yang ada.

Selain itu, Aminuddin turut menjelaskan bahawa pada 20 April 2026, ketika masih menjadi Menteri Besar, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 telah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani dengan merujuk kepada proses di bawah Perkara 10 UUTKNS.

Bagaimanapun katanya, beliau membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen berkenaan berikutan terdapat persoalan serius mengenai proses yang telah dilalui.

"Perkara 10 UUTKNS bukan sekadar menyentuh kuasa berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, tetapi turut menetapkan proses yang perlu dipenuhi, termasuk isu berkaitan suatu siasatan yang penuh dan lengkap.

Artikel Berkaitan:

"Pada ketika itu juga terdapat pertikaian mengenai kedudukan salah seorang pihak yang terlibat sebagai Undang Luak Sungei Ujong," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Ismail menandatangani dokumen terbabit selain mendakwa telah dipaksa berbuat demikian

Ujarnya, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan berhubung dakwaan terbabit tanpa sebarang prejudis.

"Saya tidak melayakkan diri saya sebagai 'dipaksa'. Jika saya boleh menolak, mengapa Datuk Ismail menandatanganinya?.

"Dakwaan itu telah dibawa kepada pihak berkuasa dan sewajarnya siasatan diberikan ruang untuk menentukan fakta sebenar tanpa sebarang prejudis,"katanya.

Tegas beliau, persoalan tersebut perlu dijelaskan secara terus kepada rakyat.

Aminuddin pada masa sama berkata, bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuatnya ketika menjadi Menteri Besar.

"Jika ada keputusan saya yang mahu dipersoalkan, kemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan. Saya akan menjawab berdasarkan rekod.

"Namun Datuk Ismail juga perlu jujur menjelaskan tindakannya sendiri. Rakyat berhak mengetahui mengapa tandatangannya berada pada dokumen proklamasi tersebut dan apakah keadaan sebenar yang menyebabkan beliau kemudian mendakwa dirinya dipaksa menandatangani,"katanya.

Tegasnya, persoalan itu tidak boleh dijawab dengan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu.

"Dalam perkara yang melibatkan UUTKNS, Adat Perpatih dan institusi Yang di-Pertuan Besar, penjelasan kepada rakyat mestilah berasaskan fakta, proses dan rekod yang sebenar.

"Jangan lakukan manipulasi sekadar untuk melepaskan diri dan keterlanjuran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!