‘Arwah insan baik budi’ - TYT Pulau Pinang kenang pertemuan dengan abang PM

BUKIT MERTAJAM - Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh keluarga susulan pemergian abangnya, Idrus Ibrahim pada Khamis.
Ramli berkata, pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan yang amat dirasai, terutama selepas beliau berkesempatan menziarahi Allahyarham pada tahun lalu.
“Masih segar dalam ingatan ketika saya berkesempatan menziarahi Allahyarham pada tahun lalu. Pertemuan yang mungkin singkat waktunya, namun meninggalkan kesan yang mendalam.
“Allahyarham merupakan seorang insan yang baik budi pekertinya dan lembut tutur katanya.
"Semoga ALLAH SWT mengampuni segala khilafnya, menerima segala amal kebajikannya, melapangkan serta menerangi alam barzakhnya dan menempatkan rohnya dalam kalangan hamba-NYA yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.
Difahamkan, Ramli dan Noora akan hadir bagi memberi penghormatan terakhir pada jam 11.10 pagi, Jumaat.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek turut menzahirkan rasa dukacita selepas menerima berita pemergian Allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang insan yang kaya dengan nasihat dan kasih sayang.
“Saya menerima berita ini dengan hati yang berat. Air mata menderu laju. Hiba menerima perkhabaran ini.
“Ya ALLAH. Cikgu Idrus yang sentiasa kaya dengan nasihat dan kasih sayang telah meninggalkan kita,” katanya.
Fadhlina turut mendoakan agar ALLAH SWT mengampuni segala dosa Allahyarham serta mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga, khususnya Anwar.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim turut mengenang jasa serta bimbingan Allahyarham yang pernah menjadi guru dan guru besar kepadanya.
Menurut Steven, Allahyarham merupakan seorang pendidik yang tegas, berdisiplin dan berprinsip namun sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan anak muridnya.
“Cikgu Idrus bukan sekadar guru dan seorang guru besar kepada saya. Beliau seorang pendidik yang tegas, berdisiplin dan berprinsip, tetapi sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak muridnya.
“Saya juga sangat menghargai segala nasihat dan bimbingan yang beliau berikan kepada saya ketika saya baru memulakan langkah sebagai ahli Parlimen sehingga menjadi seorang ahli Kabinet.
“Jasa cikgu sentiasa saya ingat. Takziah buat seluruh keluarga PMX,” katanya.
Allahyarham Idrus, 83, menghembuskan nafas terakhir pada petang Khamis dan meninggalkan seorang balu, Faridah Hanim Mohd Ghouse, 80, empat anak serta 10 cucu.
Allahyarham yang dilahirkan pada 25 November 1943 meninggal dunia dalam tidur pada jam 6.10 petang Khamis di kediamannya akibat sakit tua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

