Elak kemelut berpanjangan, MB perlu akur titah Tuanku Muhriz - AMH Negeri Sembilan

SEREMBAN - Menteri besar digesa akur kepada titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dengan mengemukakan senarai calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan baginda.
Angkatan Muda Harapan (AMH) Negeri Sembilan dalam kenyataannya berkata, senarai tersebut perlu dikemukakan segera sekali gus bagi memastikan kemelut yang berlaku tidak berpanjangan.
"Titah Tuanku berhubung perkara ini adalah jelas iaitu menteri besar dikehendaki mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku menurut Perkara 38(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Justeru, tidak sepatutnya wujud lagi kekeliruan mengenai langkah yang perlu diambil. Akur kepada titah Tuanku dan kemukakan senarai baharu," katanya.
Menurutnya, AMH Negeri Sembilan berpandangan bahawa kemelut ini tidak seharusnya terus dipanjangkan sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri dan keyakinan rakyat.
Ujarnya, menteri besar sendiri dalam kenyataan terbaharunya menegaskan bahawa tanggungjawab kerajaan negeri adalah memastikan pentadbiran terus berjalan, rakyat terus diberikan perkhidmatan dan kemuliaan Institusi Adat serta Raja Negeri Sembilan terus dipelihara.
"Jika itu benar-benar menjadi keutamaan kerajaan negeri, maka jalan penyelesaiannya sudah tersedia.
"Tidak perlu terus berbalas kenyataan. Tidak perlu menjadikan mandat rakyat sebagai alasan untuk memanjangkan kebuntuan," katanya.
Tegas kenyataan itu, mandat rakyat ialah supaya kerajaan negeri mentadbir menurut Undang-Undang Tubuh, bukan mandat untuk mengetepikan proses perlembagaan.
Ujarnya lagi, isu yang berlaku bukan untuk menentukan siapa menang atau kalah dalam pertikaian politik, tetapi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat kembali berjalan secara jelas, teratur dan stabil.
"Sekiranya menteri besar berpendirian bahawa individu tertentu masih sesuai dilantik sebagai Exco, kemukakan nama mereka.
"Sekiranya mahu mencadangkan calon baharu, kemukakan nama baharu. Biarlah proses perlembagaan berjalan sebagaimana yang ditetapkan," katanya.
Menurutnya, rakyat Negeri Sembilan tidak seharusnya terus dibebankan dengan ketidaktentuan yang berpanjangan.
"Justeru akurlah kepada titah Tuanku. Kemukakan senarai Exco baharu, tamatkan kebuntuan dan kembalikan kestabilan pentadbiran Negeri Sembilan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


