BUKIT MERTAJAM - Seekor buaya sepanjang 10 kaki berjaya ditangkap di tebing sungai Kampung Sungai Semilang, Kuala Juru, di sini sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kehadiran buaya di kawasan itu kira-kira 10.17 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

"Penduduk di kawasan itu gempar selepas mendapati ada seekor buaya dipercayai jenis air masin di atas tebing sungai di situ sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.

"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda yang tiba di lokasi kejadian mendapati buaya itu masih berada di kawasan berkenaan dan komander operasi membuat 'size up' serta mengarahkan anggota membuat tangkapan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Perhilitan dan Pasukan Bomba Sukarela Juru menggunakan penjerut serta tali berjaya menangkap buaya berkenaan pada 1 tengah hari.

Dipercayai buaya itu datang dari sungai berhampiran dan naik ke tebing di situ untuk mencari makanan, katanya.

Seorang penduduk Mohd Hasani Mohd Dain, 34, berkata penduduk kampung sering terserempak dengan buaya sejak 10 tahun lepas dan sudah beberapa kali cuba menangkapnya, namun reptilia terbabit melarikan diri sebaik menyedari kehadiran orang ramai.

Katanya di kawasan berkenaan terdapat antara empat dan lima ekor buaya spesies sama.

"Buaya itu tidak mengganggu orang kampung dan hanya makan monyet serta hidupan liar di kawasan paya bakau di sini, kadangkala timbul kebimbangan juga akan berlaku kejadian tidak diingini," katanya.  - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARANG - Nelayan sungai Pengkalan Berangan di sini, bimbang dengan kehadiran 'sang bedal'di tebing lubuk di kawasan Kuala Chador dan Kuala Temala sejak tiga hari lalu.
  • KABONG - Seekor buaya jantan dikenali dengan gelaran ‘Bujang Emplam’ yang dipercayai telah mengorbankan tujuh mangsa sejak tahun 2007, akhirnya tewas apabila termakan jerat yang dipasang di tebing Sungai Sebelak berhampiran jeti Kampung Emplam, Kabong, pada 7.46 pagi ini.
  • KEMAMAN - Igauan dan ketakutan penduduk terhadap seekor buaya tembaga yang kerap dilihat timbul dan berjemur di tali air Kampung Paman, di sini, sejak tiga bulan lalu berakhir apabila reptilia itu berjaya ditangkap kira-kira jam 5 petang semalam.
  • LAHAD DATU - Cebisan badan dipercayai milik mangsa yang dilaporkan diserang buaya semalam, ditemui di sungai Ladang Sabah Mas, Peringkat 3, kira-kira 70 kilometer dari bandar Lahad Datu, pagi tadi.
  • KEMAMAN - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan bekerjasama dengan Perhilitan untuk menangkap seekor buaya tembaga yang dilihat timbul dan berjemur di sebuah tali air di Kampung Paman sejak minggu lalu.