SEBERANG TAKIR - Batalion ke-18 RAMD, Kem Seri Pantai, di sini, bakal berubah wajah mulai tahun depan apabila RM50 juta dipe-runtukkan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan di bawah program Army Care bagi membina, menaiktaraf serta menyelenggara bangunan usang yang terdapat dalam kem tersebut.

 
Pegawai Memerintah Batalion ke-18 RAMD, Kem Seri Pantai, Leftanan Kolonel Nasharuddin Mohamad berkata, kerja naik taraf dan penyelengaraan di kem berkenaan membabitkan bangunan pentadbiran termasuk pejabat, blok anggota bujang, Wisma Perwira serta Wisma Bintara.
 
“Program Army Care bertujuan menaiktaraf kem dan kuarters tentera di seluruh negara. 
 
“Malah, ia adalah skop kebajikan kepada pegawai dan anggota tentera,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada Program Menembak Bersama Permai Hotel, Media dan Batalion ke-18 RAMD, Kem Seri Pantai, kelmarin.
 
“Bagi kem ini, kerja berkaitan dijangka dimulakan tahun depan dan siap dalam tempoh setahun khususnya membabitkan bangunan pentadbiran serta blok anggota bujang.
 
“Kerja naik taraf ini bukan hanya memperlihatkan bangunan di sini bakal bertukar wajah tetapi dengan adanya tempat tinggal dan kem lebih selesa, ia juga diharapkan mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan prestasi serta produktiviti kerja anggota,” katanya.
Pada program itu, pengamal media dan kakitangan Permai Hotel turut berpeluang menembak menggunakan pistol serta melakukan ‘abseiling’.
 
Kemeriahan turut dirasakan apabila beberapa aktiviti secara dalaman turut diadakan melibatkan pegawai, anggota, ahli keluarga seperti memancing, golf dan gusti lengan.
 
Sementara itu, Pengurus Besar Permai Hotel, Azman Ali berkata, program secara bersama antara pihak hotel, media dan kem tersebut dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam menjalinkan hubu-ngan baik serta kerjasama antara semua pihak terlibat apatah lagi semuanya saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain.