MARANG – Hasrat seorang pemuda masuk ke bilik air terbantut dengan kehadiran tetamu tidak diundang apabila menemui sepasang ular senduk sembur di bahagian dapur rumahnya di Bukit Chempedak, di sini.

Mohd Khairul Yus Hafis Nor Azman, 21, berkata, langkahnya terhenti setelah terdengar bunyi sebelum melihat sesuatu bergerak di satu sudut dapur berkenaan sebelum terlihat ular berbisa itu atau nama saintifiknya ‘naja sumatrana’.

“Khuatir dengan keselamatan saya dan dua lagi ahli keluarga, kami terus menghubungi pihak berkaitan untuk mendapatkan bantuan bagi menangkap dua ular berbisa itu,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Marang, Mohd Zabri Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.20 petang  sebelum tiga anggota dihantar bagi menangkap reptilia itu.

Menurutnya, tiga anggota dilengkapi peralatan khas ditugaskan ke lokasi kejadian ialah Mohd Azizuddin Ayub, Mohd Sharul Anuar Shafie dan Mohd Firdaus Mamat.

“Ular itu sudah berada di bawah almari apabila anggota APM tiba di rumah itu. Anggota kita mengambil masa 10 minit sebelum dapat menangkap ular yang mampu menyerang dengan cara menyembur bisa ke arah mangsa,” katanya.

Menurutnya, pasangan ular tedung senduk sembur itu kemudian dibawa ke pejabat APM Marang untuk ditempatkan sementara dalam kurungan khas disediakan sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.