HULU TERENGGANU- Seorang peniaga wanita bersama ibunya berdepan detik cemas setelah diacu pisau dan disamun ketika menaiki motosikal di Kampung Lenjang, jalan Paya Besar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun beralamat di Felda Jerangau Barat itu mengalami kerugian RM2,000 selain turut cedera di beberapa bahagian anggota badan setelah motosikal ditunggangnya terbabas.

Menurut sumber, terdahulu mangsa didatangi seorang lelaki bermotosikal  memakai topi keledar yang kemudiannya mengarahkan mangsa berhenti sambil mengacu-acukan pisau ke arah leher ibu mangsa.

"Terkejut dan takut dengan situasi tidak terduga itu, mangsa kemudiannya memecut laju motosikal. Bagaimanapun, suspek bertindak menarik gelang emas milik mangsa bernilai kira-kira RM2,000 dipakai pada tangan sebelah kanan.

"Motosikal dinaiki mangsa serta ibunya terbabas dan kedua-duanya terjatuh. Akibat daripada itu mangsa alami kecederaan dengan luka di dahi sebelah kiri, lutut kiri dan tulang punggung belakang.

"Mangsa bersama ibunya ke Hospital Hulu Terengganu untuk dapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang kira-kira jam 7 petang pada hari yang sama," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan.

"Polis juga ingin menasihatkan orang ramai khususnya golongan wanita agar tidak mempamerkan barang-barang berharga mereka dan sentiasa berhati-hati dengan keselamatan.

"Jalan-jalan yang sunyi dan tidak banyak dilalui kenderaan dikenalpasti sering kali menjadi sasaran penjenayah. Kita harapkan pengguna jalan raya berwaspada," ujarnya.