TANJONG KARANG - Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) menyasarkan lebih 70,000 pelajar Melayu dan Bumiputera menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi program itu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB Prof Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar berkata, seramai 32,000 pelajar telah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke IPT dalam tiga bulan pertama tahun ini, dengan 29,000 ditempatkan di Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional ( TVET) manakala selebihnya ke universiti awam.

"Kita yakin sasaran 70,000 pelajar itu dapat dicapai menerusi 29 siri program JPB yang kita buat seluruh negara pada tahun ini, hingga kini 17 siri telah dilaksanakan,” katanya selepas menghadiri program JPB peringkat Parlimen Tanjong Karang yang dirasmikan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar di sini, hari ini.

JPB 2018 yang dilancarkan Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada 14 Mac lalu, bertujuan membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan untuk memartabatkan tahap pendidikan anak-anak ke peringkat lebih tinggi walaupun mempunyai latar belakang berbeza.

​​​​​​​Sahol Hamid berkata program JPB berjaya membantu  kira-kira 102,000 pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sejak dilaksanakan pada 2016.

Katanya setiap pelajar yang menerima tawaran di mana-mana IPT akan mendapat bantuan kewangan RM1,500 daripada Yayasan Bank Rakyat sebagai membantu persiapan mereka ke IPT. - Bernama