Perak kutip RM800,000 hasil infrastruktur telekomunikasi

Mohd Azlan ketika menyampaikan ucapan sempena Program Amanat dan Pemerkasaan Hala Tuju Portfolio Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak di Royal Perak Golf Club di Ipoh pada Selasa.
Mohd Azlan ketika menyampaikan ucapan sempena Program Amanat dan Pemerkasaan Hala Tuju Portfolio Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak di Royal Perak Golf Club di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Perak berjaya mengutip lebih RM800,000 melalui pembinaan infrastruktur telekomunikasi di atas tanah kerajaan sejak tahun 2023 hingga April 2024.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, ia melibatkan kutipan hasil Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Permit Khas, Permit Penggunaan Tanah Hutan dan Sewaan Tanah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

"Melalui pusat sehenti (OSA) Agensi Penyelaras Infrastruktur Telekomunikasi (APiT) dengan kolaborasi pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) Perak, saya berharap dengan segala usaha pengurusan, penyelarasan dan pemantauan yang berterusan, proses permohonan pembinaan dan pembangunan struktur telekomunikasi negeri dapat diseragamkan dan sekiranya boleh dipercepatkan lagi.

"Ini akan menggalakkan kemasukan lebih banyak pelaburan dan pembangunan ke negeri Perak. Ini juga membantu meningkatkan lagi hasil pendapatan kerajaan negeri," katanya ketika berucap sempena Program Amanat dan Pemerkasaan Hala Tuju Portfolio Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak di Royal Perak Golf Club di sini pada Selasa.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, Program Sejahtera Komuniti Madani yang telah dilancarkan di Perak bermula Mac 2024 telah memperlihatkan gerak kerja pengenalpastian kawasan dan program-program yang bersesuaian untuk dilaksanakan di daerah-daerah di Perak.

Jelasnya, sehingga kini Jabatan Penerangan yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program tersebut telah mewujudkan sebanyak 177 buah Komuniti Madani di seluruh Perak sekaligus merupakan negeri ketiga terbanyak di Malaysia.

"Program ini yang bertujuan untuk mempergiatkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti setempat membabitkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

"Sebagaimana sedia maklum penubuhan komuniti madani adalah sebuah badan NGO secara sukarela di mana penubuhannya mengikut DUN. Satu DUN sebanyak tiga Komuniti Madani diwujudkan dan seramai 1,770 telah menyertai penubuhan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Azlan turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama memantau dan menyelesaikan segala isu dan permasalahan yang timbul.

Katanya, ia termasuklah isu-isu melibatkan telekomunikasi, kandungan scam, penipuan jualan, perjudian, berita palsu dan ucapan berbaur kebencian yang menimbulkan ancaman kepada rakyat serta institusi di Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!