SERDANG – “Kejadian berlaku  terlalu pantas, paras air naik mendadak dengan tiba-tiba menyebabkan saya dan suami gagal menyelamatkan peralatan elektrik dan perabot,”kata seorang mangsa, Marhamah Hassan, 62.

Dia antara 3,000 penduduk yang terjejas akibat kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Seri Serdang, petang semalam.

Kata Marhamah, akibat berasa panik dan tidak mempunyai kudrat mengangkat barang-barang yang berat, dia hanya mampu melihat semua barang ditenggelami air begitu sahaja.

Katanya, sejak mendiami taman perumahan pada 1983, kejadiansemalam adalah yang terburuk dialami menyebabkan limpahan air masuk sehingga ruang tamu dan bilik tidur rumahnya.

“Memang tidak sempat selamatkan apa-apa, air naik mendadak sehingga paras pinggang menyebabkan saya dan suami panik.

“Sebahagian pakaian di dalam almari terpaksa dibuang apabila terkena limpahan air yang dipenuhi minyak kerana kawasan perumahan terletak di belakang kawasan kedai dan deretan bengkel kenderaan,”katanya.

Penduduk, Khairudin Lop, 58, berkata, dia sedikit bernasib baik kerana kejadian berlaku ketika dia berada di rumah dan sempat menyelamatkan barang-barang elektrik ke tempat tinggi.

Namun katanya, mesin basuh dan oven pembakar tidak sempat diselamatkan kerana kelam kabut menyelamatkan peralatan lain.

“Hujan mula dari jam 4 petang dan berterusan sehingga tiga jam selepas itu, saya terkejut melihat air sudah penuh di luar rumah, tidak sampai 10 minit selepas itu air mula melimpah masuk ke dalam rumah.

“Melihat itu berlaku, kelam kabut saya dan isteri yang baru pulang dari tempat kerja membawa peralatan elektrik ke tempat lebih tinggi,”katanya.

Seorang lagi penduduk, Raymond Goh berkata, dia kerugian ribuan ringgit akibat kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan didiami sejak empat tahun lalu itu.

Katanya, dia terkejut kerana kawasan berkenaan tidak pernah dilanda banjir apatah lagi dengan keadaan sebegitu serius.

“Saya tidak tahu apa punca kejadian banjir ini namun mungkin ia disebabkan masalah perparitan tidak sempurna.

“Saya juga dimaklumkan ada kawasan sekolah yang terjejas, kenderaan penduduk terperangkap dan tenggelam dalam paras air yang tinggi itu,”katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu Pusat Khidmat Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Serdang semalam mengagihkan makanan kepada kira-kira 100 mangsa yang terjejas teruk di sekitar Seri Serdang dan Serdang Jaya ketika membuat kunjungan ke lokasi bencana lewat malam kelmarin.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.