IPOH - Kerajaan Perak bersetuju dengan isu pemilikan tanah 999 tahun atau hak milik kekal di kawasan kampung-kampung baru di negeri ini.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pelan perancangan mengenainya telah pun disediakan sejak Jun lalu itu turut dipersetujui di peringkat dalaman Pakatan Harapan Perak.

“Pelan tersebut mengandungi perincian dan langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi membolehkan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) itu dilaksanakan dengan tersusun dan tidak melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Itu sudah disebut dalam manifesto. Jadi, soal samada ia diteruskan atau tidak, tidak timbul kerana kita mahu tunaikan janji.

“Macam di peringkat Pusat pun kerajaan melalui pentadbiran baharu dituntut melaksanakan apa yang dijanjikan," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian pada sidang media setelah menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak Sesi 2018/2019 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, petang tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menafikan wujud kekecohan serta pertelagahan di peringkat dalaman Kerajaan Pakatan Harapan Perak pada ketika ini.

Malah katanya, perkara berkenaan hanyalah andaian serta tindakan daripada sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan keadaan.

“Sebenarnya tidak timbul isu langsung isu rampas tanah Melayu, beri kepada Cina. Ramai tidak tahu mereka telah tinggal di situ berpuluh tahun lamanya, malah ada yang sebelum merdeka

“Mana ada kerajaan yang tergamak menghalau penduduk? Sebab itulah disebut dalam pemerincian manifesto itu, ia mengikut prosedur dan undang-undang yang ada dan disebut juga soal tempoh supaya tidak terlalu lama kerana tidak melibatkan tanah baharu tetapi tanah lama,” katanya.