KUANTAN - Sebuah syarikat mendakwa mengalami kerugian hampir RM1 juta apabila kereta jenis Toyota Hilux dijual dan barangan kelengkapan milik syarikat hilang, dua tahun lalu.

Pengarah urusan syarikat terbabit, Ma Yanting, 60, berkata, dia kecewa dengan kejadian tersebut dan terkejut dimaklumkan mengenai kehilangan berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun, laporan polis mengenai kehilangan tersebut dibuat selepas dimaklumkan Adun Teruntum, Sim Chon Siang beberapa bulan lalu.

“Saya tak pernah meluluskan sebarang perjanjian jual beli kenderaan itu. Seingat saya, lepas kenderaan tersebut diserahkan kepada wakil syarikat, saya tak pernah ambil tahu,” katanya ketika mengadakan sidang media di Pejabat Dun Teruntum di sini, semalam.

Yanting juga mendakwa, penjualan kereta syarikat tersebut disebabkan ada pihak ketiga yang telah menyalahgunakan dokumen palsu dan meniru tandatangan setiausahanya.

Selain itu, Yanting membuat satu lagi laporan polis berhubung barang miliknya juga didapati telah hilang.

Menurutnya, pada 2 September 2015, dia ada membuat perjanjian kesemua alat keperluan mesin yang merupakan harta syarikat akan diserahkan kepada wakil syarikat, bagaimanapun telah dirampas oleh seorang lelaki bernama Jeo Lim.

Akibatnya, Yanting kehilangan 15 barang syarikatnya.

Yanting bagaimanapun meminta pihak polis segera mengambil tindakan berhubung perkara ini dan membawa individu bersalah ke muka pengadilan.

Sementara itu, Setiausahanya, Ng Lee See juga turut membuat laporan polis di balai polis yang sama bahawa dia tidak terlibat penjualan kereta dan tiada kena mengena dengan pemalsuan dokumen dan tandatangan tersebut.

Sementara itu, Chon Siang berkata, beliau akan cuba membantu menyelesaikan perkara ini dengan pihak berkaitan.