KUANTAN - Penetapan kadar bayaran zakat fitrah bagi negeri Pahang masih sama seperti sebelum ini iaitu RM7 selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu mengambil kira harga beras semasa.

Menurutnya, kadar kutipan itu masih kekal untuk lapan tahun berturut-turut sejak 2009.

“Kadar zakat fitrah pada 2007 ialah s RM4.80 dan dinaikkan kepada RM7.30 untuk 2008 sebelum turun kepada RM7 dari 2009 yang berkekalan sehingga sekarang.

“ Muip melantik 896 amil yang akan bertanggungjawab melaksanakan urusan tersebut sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya umat Islam di negeri ini perlu memastikan mereka membayar zakat fitrah kepada amil yang ada kad kuasa dan mengeluarkan resit bayaran sah dikeluarkan oleh Muip sahaja.

Beliau turut menasihatkan umat Islam supaya mengambil berat berkenaan pembayaran zakat fitrah kerana ia berkait rapat dengan ibadat puasa dilaksanakan.

Katanya, statistik kutipan zakat fitrah di negeri ini menunjukkan masih terdapat individu tidak melaksanakannya kerana jumlah kutipan tidak menunjukkan peningkatan sedangkan jumlah umat Islam semakin bertambah.

Sementara itu, bagi mengimarahkan aktiviti Ihya Ramadhan, Muip akan menyalurkan bantuan RM3.23 juta kepada masjid-masjid dan surau-surau di Pahang.

“Manakala bagi persediaan sambut Aidilfitri, majlis akan menyalurkan bantuan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf dengan peruntukan RM6,145,300,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.