MELAKA - Seorang wanita mengalami bengkak pada mukanya selepas menggunakan produk kecantikan yang dibeli secara online, minggu lalu.

Mastura Abu Bakar, 36, berkata, dia sebelum ini sudah menggunakan produk berkenaan beberapa kali sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, minggu lalu dia membeli produk sama dari seorang pelajar kolej yang menjual produk berkenaan dengan harga RM50.

Selepas menggunakan produk itu, katanya, dia bukan sahaja mengalami pedih, malah mukanya bertukar kemerahan dan sakit pada kulit.

Lebih teruk, katanya, pipinya membengkak dan mata sukar dibuka, menyebabkan aktiviti hariannya turut terganggu termasuk sukar untuk tidur selepas menggunakan produk berkenaan.

“Sebelum ini saya pernah beberapa kali guna produk sama dan nampak perubahan kulit wajah semakin cantik dan licin.

“Tapi bila gunakan produk yang baru dibeli sejak Khamis lalu, muka saya mula bengkak dan terasa pedih dan sakit pada hari Sabtu," katanya.

Akibat kejadian itu, katanya, dia yang sepatutnya pergi bercuti bersama rakan-rakannya hujung minggu lalu terpaksa membatalkannya kerana tidak tahan kesakitan dialami.

“Disebabkan tak tahan sakit, saya terus pergi klinik kesihatan dekat rumah dan diberi beberapa ubat. Esok (hari ini) saya akan dirujuk ke pakar kulit Hospital Melaka pula.

“Apa yang saya lalui ini buat saya serik, trauma dan takut untuk guna produk kecantikan lagi. Saya harap bengkak ini akan susut dan tak sanggup lagi terus menerus menahan sakit sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Mastura yang bekerja sebagai pembantu butik pakaian di Dataran Pahlawan berharap kisahnya itu dapat menjadi iktibar kepada orang lain supaya p tidak terlalu taasub untuk kelihatan cantik sehingga terpaksa menanggung malu dan kesakitan.

Sementara itu, rakan baiknya, Faizah Md Noh, 32, berkata, dia terkejut melihat perubahan pada wajah Mastura yang bengkak dan kemerahan terutama di bawah mata.

Menurutnya, dia hanya mengetahui keadaan rakan karibnya itu apabila wanita terbabit  tidak turut serta dalam percutian bersama yang dirancang sejak dua minggu lalu.

"Kak Mastura beritahu tak dapat nak sertai kerana mukanya sakit. Kami ingatkan hanya sakit biasa, tapi bila dia hantar gambar melalui WhatsApp, kami terkejut lihat mukanya bengkak.

“Sebagai kawan rapat, sudah tentu pelbagai perasaan ada, rasa marah, geram pada penjual. Dalam masa sama  saya kasihan dan simpati dengan Kak Mastura yang terpaksa menanggung kesakitan gara-gara produk kosmetik,” katanya.

Sementara itu, Doktor Perubatan Estetik, Dr Aidil Azry Datuk Mokhtar berkata, kebanyakan produk yang memberi kesan cepat seperti produk pencerahan wajah mengandungi bahan seperti raksa, hydrouinone, tretinoin, asid azleaik dan betamethasone.

Menurutnya, bahan-bahan berkenaan boleh menyebabkan kulit menjadi semakin nipis, kemerahan, sensitif dan mudah terdedah kepada penyakit lain termasuk kanser kulit.

Malah, katanya, sepanjang tahun ini sahaja, dia didatangi lebih 20 pesakit yang mengalami masalah kulit disebabkan penggunaan produk kosmetik yang mengandungi bahan itu serta yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan sehingga ada sukar untuk dirawat seperti melanoma.

“Saya nasihatkan pengguna lebih berhati-hati dalam memilih produk kecantikan. Jangan mudah terpedaya produk yang cepat memberi kesan pencerahan sehingga mengalami pengelupasan kulit yang teruk.

“Ini juga akan menyebabkan kulit semakin nipis sedangkan kecantikan itu hanya sementara sahaja, namun akan didatangi masalah lain seperti jeragat serta jerawat yang tidak boleh dirawat dengan antibiotik biasa. Selain itu, ia mudah terdedah kepada sinar UVA dan berisiko mendapat kanser kulit,” katanya.

Dalam pada itu, Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) mengesahkan lima kes diterima pihaknya berhubung penggunaan kosmetik yang merosakkan kulit, pada tahun ini.

Timbalan Presidennya, Azlin Othman berkata, kebanyakan mangsa tertarik dengan maklum balas positif terhadap produk sehingga ada yang membelinya berulang kali sehingga mengalami kesan teruk pada wajah.

“Kita percaya banyak lagi produk kosmetik di pasaran yang tidak diuji dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

"Bagi kes ini, kita akan ambil sampel produk yang digunakan pengadu untuk dihantar ke kementerian bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, terdapat juga syarikat-syarikat kosmetik yang berani membuat iklan palsu kononnya produk mereka mendapat kelulusan kementerian untuk meyakinkan pengguna.

Beliau berharap tindakan tegas dan berterusan dilakukan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - “Bagi penggemar bunga, pasti akan tertarik melihat kecantikan rumpai Miang Mexico tetapi hakikatnya ia amat berbahaya kepada manusia dan haiwan," kata Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Iesak Ngatinee.
  • KUALA NERANG - - Mengamalkan makan ulam serta selalu melakukan kerja sejak muda adalah rahsia seorang warga emas yang kini umurnya mencecah 114 tahun kekal sihat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.