MELAKA - China melalui wilayah Guangdong berhasrat  membina sebuah muzium dan pusat maklumat berkaitan Melaka di negara itu, kata  Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, hasrat tersebut berikutan jalinan kerjasama yang konkrit antara Melaka dan Wilayah Guangdong dalam bidang perdagangan, ekonomi, budaya dan pelancongan.

"Muzium dan pusat maklumat tersebut akan dibina bercirikan reka bentuk rumah Melaka yang sebenar bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di wilayah itu untuk mengenali Melaka.    

"Ia sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong dari luar negara terutamanya China datang Melaka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata keseluruhan projek bernilai RM300 juta itu yang turut menempatkan barang-barang pameran akan diusahakan pemaju tempatan dan akan dibina di Zhuhai yang terletak di selatan pantai Guangdong.

Dalam pada itu Idris berkata Melaka bercadang membina pusat pakar kanser di negeri ini menerusi pertemuannya dengan Presiden Fuda Hospital Kanser semasa lawatan beliau ke Guangzhou semalam.

Beliau berkata pusat rawatan tersebut bakal menjadikan Melaka sebagai hub perkhidmatan rawatan kesihatan buat pesakit kanser.

"Setiap tahun, kira-kira 120,000 pelancong datang ke Melaka untuk dapatkan rawatan kesihatan dan daripada jumlah itu terdapat pesakit kanser dan mereka boleh dapatkan rawatan khusus di sini," katanya.

Beliau berkata pembinaan pusat pakar itu juga mampu menjadi tumpuan  sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai penyakit kanser.

"Pusat itu akan menggunakan kepakaran dan teknologi dari negara Tembok Besar itu dan lokasi akan ditentukan kelak," katanya.

Menurut Idris, sebuah syarikat swasta negara ini akan bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri dalam pelaksanaan pusat rawatan kanser itu.  - Bernama